Bagi melindungi nombor telefon utama anda daripada terdedah, CelcomDigi hari ini telah memperkenalkan PrivateSIM. Ia adalah eSIM khas yang boleh digunakan sebagai talian kedua, direka untuk menjaga privasi dan mengelakkan daripada nombor telefon utama anda terdedah kepada pihak yang tidak diingini.
Menurut CelcomDigi, PrivateSIM ini ditawarkan untuk pelanggan CelcomDigi Postpaid 5G 80 dan ke atas, dan boleh didapatkan secara ekslusif melalui stor online CelcomDigi mulai sekarang. Ia boleh dilanggan pemegang talian utama pada harga RM10/bulan dan memerlukan sekurang-kurangnya anda untuk ada satu slot kosong daripada 6 talian tambahan.
Berdasarkan semakan di laman T&C, pelan ini juga didatangkan dengan kuota internet 1GB dengan kelajuan 100Mbps dan panggilan percuma 20 minit. Jika anda perlukan lebih data, anda juga boleh menambah data 500MB dengan tempoh sah 7 hari dengan harga RM5.

Selain itu, CelcomDigi turut menjelaskan bahawa PrivateSIM tidak akan bercanggah dengan nombor utama pengguna dan boleh diaktifkan dengan mudah secara dalam talian. PrivateSIM menawarkan beberapa kelebihan, terutamanya untuk perkara seperti:
- Perbankan & pembayaran – Terima Kata Laluan Satu Kali (One-Time Passwords/OTPs) untuk
transaksi bank dan e-dompet tanpa perlu berkongsi nombor peribadi. - Beli dalam talian – Berbelanja tanpa gangguan mesej promosi atau spam.
- Media sosial – Daftar akaun tanpa menggunakan nombor peribadi.
- Sekali guna – Sesuai untuk percubaan percuma, kod promo, atau lain-lain pendaftaran
sementara.
Bagaimanapun, sekiranya anda bercadang untuk mendapatkan PrivateSIM ini, anda perlu pastikan bahawa peranti anda mempunyai sokongan eSIM.

Mengikut laman FAQ CelcomDigi, eSIM disokong untuk iPhone XS dan ke atas, dan peranti Android terpilih termasuk Samsung Galaxy S20, Galaxy Fold, Galaxy Flip dan model lebih baharu, Google Pixel 2 dan model lebih baharu, Oppo Find X8, Find N3 dan model lebih baharu, Xiaomi 13T dan model lebih baharu, Honor Magic 4 Pro, Magic V2 dan model lebih baharu, dan Vivo V29, X90 dan model lagi baharu.
Cara mendapatkan PrivateSIM CelcomDigi

Sekiranya berminat, berikut adalah cara untuk mendapatkan PrivateSIM:
- Layari stor online CelcomDigi, pastikan peranti anda menyokong eSIM
- Sahkan identiti dengan masukkan nombor pascabayar utama, kemudian imbas MyKad dan melakukan pengenalan wajah.
- Pastikan anda ada sekurang-kurangnya satu slot talian tambahan yang tersedia dan pilih pelan anda
- Pilih nombor baharu anda untuk eSIM dan klik ‘Daftar keluar’.
- Semak butiran pesanan anda dan pilih kaedah pembayaran.
- Anda akan terima emel pengesahan dan panduan pengaktifan eSIM.
- Imbas kod QR dan anda akan dibawa ke halaman tetapan eSIM pada peranti. Ikuti arahan yang diberikan dalam emel.
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari halaman PrivateSIM CelcomDigi.