Jika anda berminat memilik telefon pintar Huawei, maka anda agak bertuah. Huawei Malaysia hari ini mengumumkan penurunan harga dua model telefon pintar mereka, Mate 20 dan Nova 3i. Mate 20 adalah telefon berkuasa tinggi yang dilancarkan tahun lepas, manakala Nova 3i adalah peranti berkelas pertengahan.
Huawei Mate 20 kini dipotong harga sebanyak RM400, menjadi RM2,399 sahaja dari harga asalnya RM2,799. Manakala Nova 3 yang baru sahaja diturunkan harga November lepas, kini diturunkan lagi menjadi RM999 sahaja.
Mate 20 adalah peranti berkuasa tinggi dengan tiga kamera belakang. Ia dilancarkan pada bulan Oktober lepas bersama-sama Mate 20 Pro dan Mate 20 X. Walaupun kesemua siri Mate 20 memiliki tiga kamera, sepesifikasi kamera mereka berbeza.
Mate 20 menggunakan gabungan lensa utama 24MP, lensa telefoto 16MP dan lensa ultra lebar 8MP. Kesemuanya memiliki cap Leica padanya. Untuk kamera hadapan pun, ia adalah lensa 24MP.
Prestasi tertinggi Mate 20 disumbang oleh pemproses Kirin 980, bersam RAM 6GB dan storan 128GB. Baterinya sebesar 4,200mAh dan menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge. Paparan Mate 20 menggunakan skrin berukuran 6.53-inci bertakuk kecil titisan air.
Nova 3i pula adalah peranti yang lebih mampu milik, dengan rupa luar yang sama seperti nova 3. Ia menggunakan cip Kirin 710 (dikatakan sebaik Snapdragon 660), RAM sebanyak 4GB dan storan dalaman 128GB.
Skrinnya berukuran 6.3-inci FHD+ 19.5:9 dan takuk besar di dahi. Tetapi baterinya sedikit kecil, 3,340mAh dan dicas melalui port mikroUSB dengan pengecas 5V/2A diberikan.
Empat kamera terdapat di nova 3i. Di belakang, ia adalah gabungan sensor 16MP+2MP. Di depan pula, 24MP+2MP menandakan ia lebih kepada peminat swafoto.
Harga baru Mate 20 dan Nova 3i berkuatkuasa bermula 21 Januari 2019. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Huawei Malaysia atau kunjungi Facebook Huawei Mobile Malaysia.