Pada hujung Jun lalu, MyEG telah mengubah nama syarikat mereka kepada Zetrix AI,dikatakan bagi mencerminkan identiti baharu mereka dalam meneraju pembangunan teknologi blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan robotik. Kini, di bawah nama baharu Zetrix AI, mereka telah memperkenalkan chatbot AI yang dipanggil NurAI, iaitu chatbot AI yang dikatakan pertama di dunia selari dengan prinsip Syariah.
Berdasarkan apa yang dinyatakan portal tersebut, akses NurAI kini dibuka sepenuhnya kepada orang ramai selama dua minggu dari sekarang, kerana mereka sedang dalam proses memperkenalkan pelan langganan berbayar.
NurAI digambarkan bukan sekadar chatbot AI biasa, tetapi sebagai pembantu yang direka dengan teliti yang memahami dan menghormati nilai-nilai Islam. Ia boleh membantu anda dalam tugasan harian, pembelajaran, atau memberi panduan sambil mengekalkan adab dan tatacara Islam yang betul. Chatbot ini tersedia dicuba orang ramai dalam versi beta sekarang, menjelang pelancarannya yang dijadualkan dalam masa terdekat ini.
Menurut laporan Bloomberg, Zetrix AI Bhd telah mereka sebuah Model Bahasa Besar AI (Large Language Model, LLM) khas untuk umat Islam yang berasaskan model DeepSeek V3. Dilaporkan bahawa DeepSeek bekerja rapat dengan pasukan dari Malaysia untuk membina seni bina dipanggil “Mixture of Experts” mereka sendiri yang mampu menghasilkan keputusan dengan lebih pantas dan kos yang lebih rendah.
Ketua pembangunan AI Zetrix AI, Fadzli Shah, memberitahu Bloomberg bahawa sebuah pasukan yang terdiri daripada 10 penyelidik DeepSeek telah membantu Zetrix mengurangkan penggunaan memori.
NurAI Beta kini boleh diakses, pelan langganan akan datang

Buat masa ini, NurAI boleh diakses secara percuma dengan pelan asas dikenali sebagai Nur Basic. Selain itu, terdapat dua pelan berbayar yang bakal diperkenalkan:
- Nur Plus (RM20/bulan): Memberi akses kepada panduan Islam dan Syariah lanjutan, kemampuan melihat dokumen berkaitan seperti fatwa dalam format PDF, balas guna audio, dan akses terhad kepada Ustaz AI.
- Nur Pro (RM200/bulan): Memberikan panduan Islam dan Syariah lebih lengkap, akses penuh kepada Ustaz AI, interaksi AI yang lebih dipertingkatkan serta akses awal kepada ciri dan kemas kini baru.
NurAI memberikan jawapan dengan pantas, tetapi masih agak asas

Dengan akses beta penuh, NurAI kini boleh digunakan dengan hanya mendaftar akaun, dan anda akan mendapat akses kepada kedua-dua NurAI dan UstazAI. Ia boleh diakses melalui laman web atau aplikasi NurAI yang tersedia untuk iOS dan Android.
Antaramukanya kelihatan ringkas dan kemas seperti chatbot AI biasa, tetapi tiada label atau ikon yang jelas untuk membezakan sama ada anda sedang menggunakan NurAI atau UstazAI. Perlu diingat, pembantu AI ini berfokus kepada kandungan Islam, jadi anda tidak boleh bertanya soalan umum di luar skop Islamik, contohnya soalan berkaitan makanan tempatan atau perkara umum harian.
Kami cuba bertanya soalan seperti itu dan NurAI menjawab bahawa ia tidak dapat memberikan sebarang cadangan kerana ia berada di luar skop fiqh Islam (fatwa) dan garis panduan rasmi daripada pihak berkuasa agama Malaysia (JAKIM atau jabatan mufti negeri).
Perbezaan NurAI dan Ustaz AI

Apabila kami bertanya tentang perbezaan antara dua pembantu AI Islam ini, NurAI menjelaskan bahawa perbezaannya terletak pada fokus bidang kuasa, metodologi dan skop autoriti.
NurAI beroperasi sepenuhnya dalam kerangka mazhab Shafi’e Malaysia, dengan hukum yang diambil hanya daripada sumber Islam rasmi di Malaysia (JAKIM, jabatan mufti negeri). Ia juga mengelakkan daripada membuat generalisasi di luar autoriti tersebut dan tidak akan merujuk sumber luar melainkan ia terkandung dalam konteks yang diberikan.

Sementara itu, UstazAI mempunyai skop yang lebih luas, berpotensi merangkumi pandangan Islam global atau pelbagai mazhab bergantung pada reka bentuknya. Berbeza dengan NurAI, UstazAI mungkin tidak terikat sepenuhnya kepada fatwa institusi rasmi di Malaysia.
NurAI juga boleh memberi panduan tentang isu Halal, seperti cara memohon sijil halal untuk restoran. Ia akan memberikan jawapan yang merangkumi kelayakan, langkah permohonan, serta perkara yang perlu dipertimbangkan. Macam yang ditunjukkan di bawah, NurAI turut memberikan konteks fatwa tambahan berkaitan seperti “Fatwa Pulau Pinang (3/2024)” dan “Fatwa Johor tentang Daging Kartel”.

Walau bagaimanapun, apabila kami meminta penjelasan lanjut mengenai sumber tersebut, NurAI memohon maaf dan berkata rujukan yang diberikan itu tersilap dimasukkan dalam jawapan. Adalah lebih baik sekiranya NurAI menyediakan pautan terus kepada sumber rujukannya untuk mengelakkan kekeliruan kepada pengguna.

Daripada ujian kami, NurAI mampu memberikan jawapan dengan pantas, dan hasilnya agak baik sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Ia juga menyokong Bahasa Cina, seperti yang dibuktikan apabila ia menjawab soalan kami tentang pematuhan Syariah untuk konsep “Buy Now Pay Later”.

Perlu diingat, kebanyakan jawapannya akan diakhiri dengan penafian yang menegaskan supaya pengguna sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat daripada pembantu AI ini dengan merujuk kepada pihak berkuasa agama rasmi di Malaysia seperti JAKIM dan portal e-Fatwa.
Jadi, apa sebenarnya kegunaan NurAI?

Menurut portal itu, NurAI boleh membantu anda dalam pelbagai aspek kehidupan berteraskan Islam sambil memberikan panduan yang menghormati batas-batas bidang keilmuan agama. Antara kegunaan sebenar yang ditawarkan termasuk Panduan Kewangan Islam, Sokongan Gaya Hidup Halal, Nasihat Keibubapaan Islam, Kesihatan Mental & Kerohanian, Etika & Pembuatan Keputusan Berlandaskan Islam, serta Pembantu Soal Jawab Agama.
Portal itu turut menambah bahawa walaupun NurAI mampu memberikan panduan yang bermanfaat berdasarkan prinsip Islam, pengguna tetap disarankan untuk merujuk kepada ulama atau mereka yang bertauliah bagi mendapatkan fatwa rasmi dan pandangan dalam hal-hal agama yang lebih mendalam.