Selepas pelaksanaan yang agak bermasalah, kerajaan dilapor menarik semula sementara penggunaan platform NG MERS 999 susulan aduan mengenai kelewatan respon dan pelbagai isu teknikal.
Menurut laporan MalaysiaKini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah kembali menggunakan sistem lama MERS 999 untuk panggilan kecemasan dan penghantaran ambulans bermula semalam pada waktu petang.
Laporan MalaysiaKini itu berdasarkan satu memo dalaman yang dilihat, menyebut bahawa penarikan semula ini berkuat kuasa di seluruh negara bermula 10 malam, 20 November. Memo itu turut memaklumkan bahawa semua 21 Pusat Koordinasi Kecemasan Perubatan (MECC) di Malaysia termasuk MECC Kota Bharu akan diaktifkan semula pada waktu yang sama.
Ia turut menyatakan bahawa penggunaan NG MERS 999 ditangguhkan buat sementara waktu, dan sesi koordinasi kecemasan akan dilakukan secara manual. MalaysiaKini turut mengesahkan maklumat tersebut dengan seorang pegawai KKM.
Kami juga sudah menghubungi TM untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan berpatah balik kepada sistem lama MERS 999.
Sistem NG MERS 999 oleh Telekom Malaysia (TM) mula beroperasi pada 16 November 2025, menggantikan platform MERS 999 yang telah digunakan selama 17 tahun. TM sebelum ini dianugerahkan projek NG MERS 999 bernilai RM1.25 bilion untuk tempoh 12 tahun.
Dalam kenyataan yang dikongsi semalam, TM berkata bahawa platform 999 biasanya menerima sekitar 50,000 panggilan sehari. Namun sebaik sahaja migrasi ke NG MERS 999 dilakukan, jumlah panggilan melonjak 40% kepada hampir 70,000 panggilan sehari. Lonjakan mendadak ini dipercayai menjadi punca penurunan prestasi sistem, termasuk isu teknikal dan kelewatan respon. TM juga berkongsi bahawa hanya 5% panggilan adalah kecemasan sebenar, manakala selebihnya ialah panggilan senyap atau panggilan gurauan.
Untuk mengurangkan masalah ini, TM telah meningkatkan kapasiti server, mengoptimumkan konfigurasi, dan menambah kakitangan di pusat panggilan.
TM turut menegaskan bahawa panggilan kecemasan 999 masih beroperasi seperti biasa, manakala aplikasi SaveME 999 hanyalah saluran alternatif.
Setakat petang semalam, aplikasi SaveME 999 yang dibangunkan oleh Jabatan Digital Negara telah menerima rating yang agak rendah, 1.5 bintang di Apple App Store dan 1.4 bintang di Google Play Store.






