Samsung bakal melancarkan siri telefon lipat baharu mereka, Galaxy Z Fold 8 dan Z Flip 8 pada esok hari. Namun menjelang pelancaran tersebut, nampaknya harga rasmi bagi pasaran Malaysia telah pun bocor dalam talian terlebih dahulu.
Menerusi imej yang dikongsi, ia dipercayai merupakan poster promosi Maxis bagi pelan pascabayar mereka. Poster tersebut turut memaparkan dengan jelas maklumat harga serta promosi tempahan awal bagi ketiga-tiga peranti Galaxy Z Fold 8 Ultra, Galaxy Z Fold 8 dan Galaxy Z Flip 8.
Harga Galaxy Z Fold 8, Z Fold 8 Ultra dan Z Flip 8

Berdasarkan poster itu, Samsung Galaxy Z Fold 8 disenaraikan pada harga bermula RM7,299, manakala Galaxy Z Fold 8 Ultra pula bermula RM8,099. Sementara itu, Galaxy Z Flip 8 dijual pada harga bermula RM5,299.
Walaupun kapasiti storan tidak dinyatakan, harga tersebut berkemungkinan besar adalah untuk varian asas dengan storan 256GB.
Jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya, harga siri ini dilihat meningkat sedikit, Galaxy Z Fold 7 bermula pada RM7,799, manakala Galaxy Z Flip 7 pula bermula pada RM4,499.
Bagi pelanggan yang membuat tempahan melalui Maxis, beberapa hadiah percuma turut ditawarkan. Pembeli Galaxy Z Fold 8 Ultra akan menerima sebuah Samsung 55″ UHD TV bernilai RM2,899 bersama Galaxy Watch 9 44mm bernilai RM599.
Pembeli Galaxy Z Flip 8 pula akan menerima fon putik Galaxy Buds 4 Pro bernilai RM999 secara percuma.
Selain hadiah tersebut, tempahan bagi ketiga-tiga peranti turut disertakan dengan kredit TNG eWallet bernilai RM200.
Sekiranya anda terlepas, Samsung baru-baru ini juga telah membuka pendaftaran minat untuk siri telefon lipat baharu ini. Mereka yang mendaftar akan menerima baucar RM200, manakala ahli Samsung Members layak menikmati baucar tambahan RM700 untuk pembelian peranti baharu.
Siri telefon lipat Samsung Galaxy ini akan dilancarkan secara rasmi pada majlis Galaxy Unpacked yang bakal berlangsung pada hari Rabu, 22 Julai 2026, jam 9 malam.






