Peranti lipat Samsung seterusnya bakal dilancarkan tidak lama lagi. Baru-baru ini Samsung telah mengesahkan bahawa acara Galaxy Unpacked seterusnya akan berlangsung pada 22 Julai 2026 di London, United Kingdom, sekali gus memberi bayangan bahawa pengguna di Malaysia juga tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkannya.
Menerusi acara kali ini, Samsung dijangka akan mendedahkan siri telefon lipat generasi terbaharu mereka iaitu Samsung Galaxy Z Fold 8 dan Galaxy Z Flip 8. Selepas 7 generasi, teaser terbaharu Samsung turut memberi bayangan bahawa Galaxy Z Fold 8 mungkin tampil dengan perubahan besar pada bentuk dan rekaannya.
Untuk mereka yang berminat untuk menonton majlis Galaxy Unpacked ini, siaran langsungnya akan bermula pada pukul 9 malam Waktu Malaysia dan boleh distrim melalui laman web rasmi Samsung dan saluran YouTube rasmi mereka.
Daftar minat untuk dapatkan e-baucar tambahan
Menjelang pelancaran rasmi, Samsung Malaysia telah membuka pendaftaran minat untuk peranti Galaxy baharu, dari 8 hingga 22 Julai 2026.
Mereka yang mendaftar berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM62,944 untuk 56 pemenang yang dipilih. Yang lebih menarik, pengguna yang mendaftar akan layak mendapat e-baucar bernilai RM120 yang boleh digunakan semasa membeli peranti Galaxy baharu.

Samsung turut membawa kembali program Reservation+. Dari 8 hingga 24 Julai 2026, pengguna boleh membayar RM50 untuk mendapatkan baucar Samsung Reservation+ bernilai RM250. Secara ringkasnya, anda boleh menikmati penjimatan RM200 untuk pembelian telefon lipat Galaxy baharu nanti.
Pengguna sedia ada Samsung boleh dapatkan e-baucar RM700

Lebih menarik lagi, kalau anda pengguna sedia ada telefon pintar Samsung, ada tawaran yang jauh lebih lumayan.
Ahli Samsung Members boleh mendapatkan e-baucar eksklusif bernilai RM700 melalui aplikasi Samsung Members, yang boleh digunakan untuk pembelian telefon lipat Galaxy baharu dari 22 Julai hingga 4 Oktober 2026. Baucar ini hanya boleh digunakan sekali dan tidak boleh digabungkan dengan baucar yang lain.
Bukan setakat itu, pengguna sedia ada juga boleh kongsikan promosi ini dengan rakan, di mana rakan tersebut boleh mendapatkan e-baucar RM600 untuk pembelian telefon lipat Galaxy mereka.
Apa yang boleh dijangka di Galaxy Unpacked 2026?

Acara Galaxy Unpacked yang bakal berlangsung dalam masa dua minggu lagi dijangka menyaksikan pengenalan barisan baharu telefon lipat dan jam pintar, selain kemungkinan kemunculan kaca mata pintar pertama Samsung.
Antara produk yang paling dinantikan ialah Samsung Galaxy Z Fold 8. Berdasarkan teaser yang dikongsikan, telefon lipat generasi baharu ini dijangka menggunakan bentuk lebih lebar seperti pasport.
Berbanding generasi Galaxy Z Fold sebelum ini, skrin luar yang lebih lebar dijangka menjadikan telefon lebih selesa dipegang dan memudahkan pengguna menaip ketika dilipat. Apabila dibuka pula, skrin yang lebih lebar ini boleh memberikan pengalaman lebih baik untuk menonton video dengan nisbah lebar dan melakukan beberapa tugasan serentak.
Bagi pengguna yang masih gemar dengan bentuk asal Galaxy Z Fold, Samsung juga dijangka memperkenalkan Galaxy Z Fold 8 Ultra sebagai pengganti kepada Galaxy Z Fold 7 tahun lalu.
Sementara itu, Galaxy Z Flip 8 dijangka akan meneruskan konsep telefon lipat kompak jenis clamshell Samsung. Ia disasarkan kepada pengguna yang mahukan telefon bersaiz lebih kecil dan mudah dibawa di dalam poket. Selain telefon lipat, Samsung juga dijangka kemaskini barisan jam pintar mereka dengan Galaxy Watch 9 dan Galaxy Watch Ultra 2.
Satu lagi produk yang mungkin membuat kemunculan ialah Galaxy Glasses. Selepas Samsung mengumumkan kerjasama Android XR bersama Google pada awal tahun ini, syarikat tersebut mungkin akhirnya memperkenalkan kaca mata pintar yang dikuasakan Gemini untuk bersaing dengan kaca mata pintar Ray-Ban Meta. Samsung sebelum ini turut mengumumkan kerjasama dengan jenama kaca mata popular Gentle Monster dan Warby Parker.
Maklumat rasmi mengenai harga dan ketersediaan peranti baharu ini di Malaysia dijangka diumumkan selepas acara Galaxy Unpacked pada 22 Julai nanti.






