Kalau anda bercadang untuk beli telefon bajet Samsung dalam masa terdekat, bersedialah untuk keluarkan bajet lebih. Ini kerana Samsung Malaysia baru sahaja mengumumkan penyelarasan harga bagi dua model kelas permulaan mereka, Galaxy A07 dan Galaxy A17.
Kenaikan harga ini berkuat kuasa mulai 27 Julai, dengan beberapa model menyaksikan peningkatan harga sehingga RM200 berbanding harga asal.
Harga baharu Samsung Galaxy A17 dan Galaxy A07

Berikut ialah harga rasmi baharu bagi model yang terlibat:
- Galaxy A07 LTE (8GB + 256GB) – RM1,049 (sebelum ini RM899)
- Galaxy A07 5G (8GB + 256GB) – RM1,149 (sebelum ini RM1,029)
- Galaxy A17 LTE (8GB + 256GB) – RM1,149 (sebelum ini RM949)
- Galaxy A17 5G (8GB + 256GB) – RM1,299 (sebelum ini RM1,149)
Menurut Samsung, kenaikan ini berpunca daripada peningkatan kos komponen di peringkat global, khususnya cip memori dan RAM. Keadaan ini didorong oleh permintaan yang semakin tinggi daripada pembangunan infrastruktur AI dan pusat data.

Samsung turut memaklumkan bahawa syarikat telah berusaha menyerap peningkatan kos tersebut sebelum membuat keputusan untuk menyemak semula harga jualan. Pada masa sama, Samsung berkata mereka akan terus menawarkan prestasi, ketahanan dan nilai jangka panjang menerusi siri Galaxy A.
Spesifikasi ringkas Samsung Galaxy A07

Galaxy A07 merupakan telefon kelas permulaan Samsung yang hadir dengan skrin LCD HD+ 6.7″. Dari segi prestasi, model LTE dikuasakan cip MediaTek Helio G99, manakala versi 5G menggunakan MediaTek Dimensity 6300.
Untuk fotografi, kedua-dua model dilengkapi kamera utama 50MP, dipadankan dengan kamera kedua 2MP, sementara di hadapan terdapat kamera swafoto 8MP.
Kapasiti bateri pula berbeza mengikut model, dengan versi LTE menggunakan bateri 5,000mAh, manakala model 5G menerima bateri yang lebih besar, iaitu 6,000mAh.
Spesifikasi ringkas Samsung Galaxy A17

Galaxy A17 pula menawarkan beberapa penambahbaikan berbanding Galaxy A07, termasuk penggunaan skrin Super AMOLED 6.7″ dengan resolusi Full HD+.
Bagi cip pemproses, Galaxy A17 LTE masih menggunakan MediaTek Helio G99, sementara model 5G dikuasakan cip Exynos 1330.
Sistem kameranya juga lebih lengkap dengan gabungan kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 5MP dan kamera makro 2MP. Untuk swafoto, ia menggunakan kamera hadapan 13MP. Kedua-dua varian Galaxy A17 dibekalkan bateri 5,000mAh.
Selain itu, siri Galaxy A07 dan Galaxy A17 turut hadir dengan sokongan sehingga enam generasi naik taraf Android, kemas kini keselamatan serta penarafan IP54 yang memberikan perlindungan terhadap habuk dan percikan air.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Galaxy A07 dan Galaxy A17.






