DJI telah melancarkan DJI Mic Mini 2S di Malaysia, mikrofon wayarles mini terbaharu yang dibangunkan sebagai kesinambungan kepada Mic Mini 2. Untuk model baharu ini, DJI menambah beberapa ciri yang lebih sesuai untuk pencipta kandungan, termasuk keupayaan rakaman dalaman 32-bit float dan pembatalan hingar AI dua tahap.
Setiap mikrofon turut dilengkapi storan dalaman 14.5GB yang boleh menyimpan rakaman sehingga 28 jam, selain menyokong sambungan sehingga empat mikrofonkepada satu penerima. Ia juga kekal kompak dengan berat hanya sekitar 12g bagi setiap unit mikrofon.
Harga dan ketersediaan DJI Mic Mini 2S di Malaysia

DJI Mic Mini 2S kini boleh dipratempah di Malaysia menerusi kedai dalam talian rasmi DJI, Shopee, Lazada dan TikTok Shop, serta kedai fizikal DJI dan pengedar sah.
Ia ditawarkan dalam beberapa konfigurasi pada harga berikut:
- DJI Mic Mini 2S (2 TX + 1 RX + Bekas Pengecasan) – RM699
- DJI Mic Mini 2S (1 TX + 1 RX) – RM419
- DJI Mic Mini 2S (1 TX + 1 RX Mudah Alih + Bekas Pengecasan) – RM419
- Mikrofon sahaja – RM299
- Bekas Pengecasan DJI Mic Mini 2S – RM159
DJI turut menawarkan Set Penutup Hadapan Magnetik Pelbagai Warna pada harga RM59, manakala Set Penutup Hadapan Magnetik Siri Time dijual pada harga RM129.
Spesifikasi DJI Mic Mini 2S

Peningkatan utama pada DJI Mic Mini 2S adalah keupayaan rakaman dalaman 32-bit float. Ini membolehkan mikrofon menangkap julat dinamik bunyi yang lebih luas, daripada suara perlahan sehinggalah bunyi kuat secara tiba-tiba, di samping memberikan lebih fleksibiliti untuk melaraskan tahap audio ketika proses pascaproduksi.
Setiap unit mikrofon turut dilengkapi kira-kira 14.5GB storan terbina, yang mampu merakam sehingga 28 jam audio dalam mod lalai 24-bit. Rakaman dalaman juga boleh berfungsi sebagai sandaran sekiranya berlaku masalah pada rakaman utama.
Untuk mengurangkan bunyi latar, Mic Mini 2S dilengkapi pembatalan hingar AI dua tahap. Mod Basic direka untuk mengurangkan bunyi dalaman seperti kipas, penghawa dingin dan gema, manakala mod Strong digunakan untuk menapis bunyi yang lebih kuat ketika merakam di luar.

Turut tersedia ialah Clipping Control, yang akan mengurangkan tahap audio secara automatik apabila berlaku lonjakan bunyi secara tiba-tiba. Selain itu, ciri Loudness Balance pula berfungsi mengekalkan aras output audio yang konsisten, sesuai untuk sesi temu bual atau penstriman langsung.
Pengguna turut boleh memperhalusi audio mereka menerusi tiga pratetapan tona suara yang disediakan:
- Regular — audio seimbang dan semula jadi
- Bright — kejelasan dan penonjolan suara yang lebih baik
- Rich — tona yang lebih penuh dan hangat
Satu penerima Mic Mini 2S boleh disambungkan kepada sehingga empat mikrofon secara serentak. Ini menjadikannya sesuai untuk podcast, temu bual, perbincangan meja bulat atau produksi kumpulan kecil.

Menariknya, ia turut menawarkan keserasian rentas generasi dengan mikrofon DJI Mic Mini dan Mic Mini 2, serta Penerima Mudah Alih DJI Mic Series. Jadi, pengguna yang sudah mempunyai mikrofon DJI terdahulu tidak semestinya perlu menggantikan keseluruhan sistem untuk menggunakan Mic Mini 2S.
Dari segi fizikal, setiap mikrofon hanya seberat sekitar 12g dan boleh dipasang menggunakan klip atau magnet. Penutup hadapannya juga menggunakan rekaan magnetik yang boleh ditanggalkan dan ditukar dengan pilihan warna lain. Selain lapan penutup magnetik berwarna-warni yang dijual berasingan, DJI turut menawarkan Time Series Magnetic Front Cover yang direka bersama artis ilustrasi Victo Ngai.


DJI Mic Mini 2S turut menyokong DJI OsmoAudio Direct Connection, membolehkan mikrofon disambungkan terus kepada beberapa kamera DJI Osmo tanpa memerlukan penerima berasingan. Ia boleh menghantar audio 48kHz 24-bit terus kepada peranti yang serasi, termasuk Osmo Pocket 4P, Osmo Pocket 4, Osmo 360, Osmo Nano dan Osmo Action 6.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk DJI Mic Mini 2S.






