Sempena sambutan Hari Kebangsaan negara, Proton kembali lancarkan kempen Servis Ihsan Madani bermula hari ini 17 Ogos sehingga 17 September 2026.
Kempen ini merupakan hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Proton, ia merupakan inisiatif selepas jualan untuk pengguna kenderaan di bawah jenama terkemuka ini.
Servis asas sebanyak RM70
Menjengah ke laman media sosial Proton Cars di Facebook, Proton menawarkan khidmat servis kereta untuk empat jenis kenderaan di bawah jenamanya iaitu Proton Saga, Proton Iriz, Proton Persona dan Proton Exora. Dengan khidmat servis kenderaan yang ditawarkan, Proton berharap ia dapat mengurangkan kos penyelenggaraan untuk pemilik kenderaan.
Antara manfaat yang pengguna kenderaan akan dapati dengan mendapatkan khidmat Servis Ihsan Madani Proton ini adalah:
- Diskaun servis RM70 – pelanggan akan menikmati potongan sebanyak RM70 untuk caj servis asas ataupun dari jumlah keseluruhan bil, tertakluk pada terma dan syarat kempen
- Pemeriksaan kenderaan 40 perkara percuma – pelanggan akan menerima pemeriksaan 40 perkara utama pada kenderaan dan servis ini dapat bantu mengesan sebarang masalah dari awal
- Model Proton terpilih – kempen ini terbuka untuk pemilik Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga
- Kemudahan seluruh negara – manfaat kempen boleh dinikmati di pusat servis sah Proton dan termasuklah cawangan 4S, 3S dan 2S diseluruh negara bagi memudahkan pelanggan mendapat khidmat di lokasi pilihan
Untuk mendapatkan khidmat servis ini, pengguna kenderaan perlu membuat tempahan temujanji melalui laman sesawang Proton atau muat turun sahaja aplikasi Proton Link di Play Store dan Apple App Store.

Perodua tawar khidmat servis untuk semua jenis kereta
Selain Proton, Perodua turut menyertai kempen Servis Ihsan Madani dengan kerjsama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Khidmat servis Perodua bermula hari ini 17 Ogos sehingga 30 September 2026, dan banyak kelebihan yang Perodua berikan untuk pengguna kenderaan bagi jenama ini.
Antara manfaat istimewa pengguna kenderaan Perodua ini adalah seperti berikut:
- Diskaun 10% – pelanggan akan mendapat diskaun sebanyak 10% untuk bayaran bahagian kenderan dan juga tenaga kerja
- Subsidi sebanyak RM70 – pemilik kenderaan Perodua turut mendapat subsidi sebanyak RM70 daripada kerajaan
- RM20 e-baucar – pelanggan juga menerima RM20 e-baucar yang boleh digunakan pada servis seterusnya dan sah laku selama setahun
- Model Perodua terpilih – servis ini dapat dinikmati untuk semua jenis kenderaan Perodua
- Waktu operasi servis – pelanggan boleh dapatkan khidmat servis pada setiap hari Isnin sehingga Rabu sahaja
- Minima cas servis – pelanggan perlu belanja RM280 (sebelum cukai dan diskaun) untuk servis kenderaan dan tukar minyak hitam
Pengguna kenderaan Perodua yang ingin dapatkan khidmat servis ini, anda perlu membuat tempahan dengan memuat turun aplikasi UFirst di Play Store dan Apple App Store. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang Perodua.

Jadi jangan lepaskan peluang untuk untuk servis kenderaan anda dengan harga mampu milik sepanjang kempen Servis Ihsan Madani berlangsung dari 17 Ogos sehingga 17 September 2026 untuk Proton dan 17 Ogos sehingga 30 September untuk Perodua.
Ada yang dah pernah guna khidmat servis semasa kempen tahun lepas? Cuba kongsi pengalaman anda.






