Nothing baru sahaja memperkenalkan Headphone (1) Pro, fon kepala flagship terbaharu yang dikatakan sebagai fon kepala paling canggih pernah dihasilkan Nothing setakat ini.
Ia diposisikan sebagai model lebih premium selepas Headphone (1) dan Headphone (a), dengan fokus kepada pengalaman audio yang lebih terperinci dan boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna.
Menurut Nothing, Headphone (1) Pro menggabungkan ciri untuk kegunaan harian seperti penyaring hingar aktif (ANC) dengan ciri bertaraf studio untuk mendengar, menghasilkan dan melakukan mixing muzik dalam satu peranti.
Sistem tiga pemandu dan audio ditala Metropolis Studios

Perkara paling menarik pada Headphone (1) Pro adalah audionya dihasil menggunakan sistem tiga pemandu, di mana setiap satu khusus untuk bahagian frekuensi tertentu.
Bass dynamic driver bertanggungjawab menghasilkan bass yang lebih bertenaga, manakala precision dynamic driver digunakan untuk memperincikan vokal dan instrumen. Untuk frekuensi tinggi pula, Nothing menggunakan treble xMEMS driver yang direka untuk menghasilkan bunyi treble lebih jelas.

Gabungan ketiga-tiga pemandu ini dikatakan membolehkan Headphone (1) Pro menghasilkan bass lebih dalam, vokal lebih bertekstur dan instrumen yang lebih terperinci.
Berbeza dengan Headphone (1) yang ditala KEF, bagi model Pro ini Nothing bekerjesama dengan Metropolis Studios, sebuah studio rakaman yang berpangkalan di London.
Menerusi kerjasama ini, ia dilengkapkan dengan Flat EQ Switch khusus yang menyediakan profil bunyi neutral, sesuai untuk produser dan pencipta kandungan. Turut diperkenalkan ialah mod “Studio B”, iaitu mod Dynamic Spatial Audio baharu yang membolehkan pengguna merasai karakter akustik sebuah bilik mixing sebenar.



Selain itu, terdapat lima profil Custom EQ baharu yang direka khusus untuk menonjolkan yang terbaik daripada muzik British. Ia turut dilengkapi sistem ANC adaptif dengan tahap pembatalan bunyi sehingga 46dB, disokong 10 mikrofon serta kusyen telinga dengan binaan 8mm untuk membantu menghasilkan pengedap bunyi yang lebih baik.

Dari segi kualiti audio, Headphone (1) Pro turut menyokong main balik Hi-Res secara wayarles mahupun berwayar menerusi USB-C, membolehkan audio lossless berkualiti tinggi sehingga 24-bit/192kHz. Terdapat juga lima mod Dynamic Spatial Audio dengan fungsi penjejakan kepala disediakan, memberi pengalaman mendengar lebih imersif mengikut keperluan semasa pengguna.
Fizikaliti Headphone (1) Pro masih mengekalkan reka bentuk lutsinar. Menariknya, struktur sistem tiga pemandu audio di dalam peranti ini boleh dilihat secara terus menerusi panel kaca 9H Panda Glass pada kedua-dua cawan telinga.

Binaan luarnya menggunakan gabungan bahan aluminium dan titanium, memberikan sentuhan premium sambil mengekalkan struktur yang kukuh. Nothing turut mereka semula komponen dalaman dengan menggantikan lengan keluli kepada titanium serta menyertakan kusyen telinga yang lebih lembut. Hasilnya, keseluruhan fon kepala ini hanya seberat 327g.
Dari segi bateri, Nothing dakwafon kepalla ini boleh tahan sehingga 68 jam dengan ANC dimatikan, serta menyokong pengecasan pantas melalui USB-C. Ia juga diiktiraf kalis percikan air IP52 dan ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu hitam dan putih.
Bila Headphone (1) Pro akan dijual di Malaysia?

Buat masa ini, Nothing belum mengumumkan harga dan tarikh jualan Headphone (1) Pro untuk pasaran Malaysia.
Untuk rujukan anda, Headphone (1) Pro dijual di pasaran Amerika Syarikat pada harga USD399 (~RM1,650), iaitu USD100 (~RM408) lebih mahal daripada Headphone (1) di pasaran sama. Maka, anda boleh jangkakan model Pro akan akan berharga di antara RM1,500 hingga RM2,000 jika dilancarkan di Malaysia kelak.
Sebagai perbandingan, harga pelancaran Headphone (1) di Malaysia adalah RM1,099.






