IKEA Malaysia bekerjasama dengan Xbox untuk memperkenalkan YXSTABY, koleksi baharu perabot dan aksesori gaming. Koleksi ini merangkumi lapan produk, termasuk rak TV beroda, meja sisi, penyangga monitor dan bangku yang yang diinspirasikan daripada butang thumbstick pada alat pengawal Xbox.
Berbeza daripada persediaan gaming biasa dengan pencahayaan RGB, koleksi IKEA x Xbox ini tampil dengan gaya minimalis supaya lebih mudah disesuaikan dengan ruang tamu rumah anda.
Koleksi ini juga memfokuskan kepada aspek penyimpanan, dengan ruang khas untuk menyimpan pengawal permainan, kabel dan fon kepala supaya kawasan gaming lebih kemas dan teratur.
Harga dan ketersediaan IKEA x Xbox YXSTABY di Malaysia

Koleksi IKEA x Xbox YXSTABY ini terdiri daripada lapan barangan, dengan penawaran harga seperti berikut:
- Kusyen D-pad XSTABY – RM59
- Pendiri monitor YXSTABY – RM99
- Sokongan laptop dengan ruang simpanan YXSTABY – RM99
- Kotak pameran bercermin YXSTABY – RM99
- Bangku thumbstick YXSTABY – RM169
- Rak TV beroda YXSTABY – RM399
- Kerusi santai (lounge chair) YXSTABY – RM399
- Meja sisi beroda YXSTABY – RM499
Koleksi ini sudah mula dijual di Malaysia di cawangan IKEA Damansara, Cheras, Tebrau, dan Batu Kawan. Anda juga boleh membelinya secara dalam talian menerusi laman web IKEA Malaysia.

Bagi pengguna di Sabah dan Sarawak pula, koleksi ini akan mula dijual di IKEA Kuching bermula 27 November 2026.
Apa yang menarik tentang koleksi IKEA x Xbox YXSTABY?

Antara produk yang menarik dalam koleksi ini ialah rak TV beroda YXSTABY yang dijual pada harga RM399. Menurut IKEA, ia merupakan rak TV pertama seumpamanya yang membolehkan pengguna menolak kelengkapan TV mereka ke mana-mana ruang di dalam rumah. Ia turut mempunyai ruang simpanan di bahagian belakang untuk menyimpan aksesori gaming.
Jika anda perlukan lebih banyak ruang, terdapat meja sisi beroda padanan yang dijual pada harga RM499. Ia didatangkan dengan pintu gelangsar dan ruang untuk mengecas peranti. Kedua-dua perabot ini boleh dialihkan apabila ruang tamu perlu digunakan untuk aktiviti lain.

Untuk gamer PC pula, tempat letak monitor YSXTABY berharga RM99 boleh menempatkan satu atau dua monitor. Ia turut menyediakan ruang simpanan tambahan di bahagian bawah, selain pemegang khas untuk telefon pintar, fon kepala dan pengawal permainan.
Turut ditawarkan ialah sokongan komputer riba berharga RM99 yang juga berfungsi sebagai kotak simpanan untuk alat pengawal, kabel, dan pelbagai aksesori. Penutupnya boleh digunakan sebagai tapak penyokong komputer riba, menjadikannya sangat berguna walaupun ketika anda tidak bermain game.

Barangan yang mungkin paling unik dalam koleksi ini adalah bangku thumbstick YXSTABY, berharga RM169. IKEA menyatakan bangku ini dibangunkan menggunakan fail rekaan 3D asal alat pengawal Xbox, dan ia direka supaya boleh condong mengikut pergerakan badan anda sewaktu duduk bermain.
Selain itu, terdapat juga kerusi santai bernilai RM399 dengan ruang simpanan tersembunyi di bawahnya, manakala kusyen berharga RM59 pula mendapat inspirasi rekaan daripada butang D-pad ikonik pada alat pengawal Xbox.
Buat peminat yang suka mempamerkan aksesori atau koleksi peribadi, IKEA turut menawarkan kotak pameran bercermin berharga RM99. Ia membolehkan anda menayangkan alat pengawal kegemaran, patung mainan (figurine), atau barangan lain dari pelbagai sudut.
Secara keseluruhan, koleksi YXSTABY menggunakan gabungan warna putih, hitam dan beige, dengan aksen hijau yang diinspirasikan oleh Xbox pada bahagian poket, tali dan ruang penyimpanan.

Menurut IKEA, koleksi ini dibangunkan bersama pereka Xbox dan turut mengambil kira pandangan pakar gaming. Pasukan rekaan turut melawat beberapa buah rumah untuk memahami bagaimana rutin gaming boleh disepadukan dalam kehidupan harian, terutamanya di kawasan yang dikongsi bersama ahli keluarga yang mempunyai keperluan berbeza.
Hasilnya, YXSTABY menawarkan pilihan perabot dan aksesori gaming yang lebih praktikal, selesa serta mudah disesuaikan dengan ruang kediaman biasa tanpa kelihatan seperti setup gaming. Pendekatan ini juga selari dengan konsep Democratic Design IKEA untuk memastikan produk yang berfungsi baik dengan rekaan menarik dapat dinikmati oleh lebih ramai orang.






