Samsung Galaxy A80 akan tiba di Malaysia tak lama lagi. Ia adalah Galaxy A paling berkuasa untuk tahun 2019 ini. Paling unik adalah pada mekanisme kamera berputar yang memastikan gambar biasa dan selfie anda menggunakan kamera yang terbaik sepanjang masa. Telefon ini sudahpun berada dalam pengkalan data SIRIM tetapi ada satu kekurangan ketara yang mungkin menghampakan anda.
Galaxy A80 sewaktu diumumkan di Bangkok tempoh hari ada menyokong Samsung Pay, penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang sangat efektif sekurang-kurangnya di Malaysia kerana di sini tiada Apple Pay dan Google Pay. Untuk menggunakan Samsung Pay, telefon itu perlu ada cip NFC. Tapi dalam pengkalan SIRIM, Galaxy A80 yang akan dijual di sini tidak memiliki komponen tersebut.
Maka, anda boleh mengucapkan selamat tinggal pada Samsung Pay pada Galaxy A80. Telefon ini bukanlah satu-satunya model yang ditanggalkan cip NFC swaktu tiba di Malaysia, Galaxy A70 juga turut menerima nasib yang sama.
Tidaklah diketahui apakah rasionalnya Samsung Malaysia membawa masuk varian yang tidak menyokong Samsung Pay kerana ianya digunakan secara meluas di Malaysia. Kaedah pembayaran ini diskong oleh semua Galaxy S10 yang dilancarkan tahun ini dan ia menjadi antara faktor pembeza produk Samsung berbanding yang lain.
Untuk yang terlepas berita, Galaxy A80 adalah sebuah telefon yang diperkasa Snapdragon 730G dengan RAM 8GB dan storan 128GB. Ia miliki paparan 6.7″ beresolusi HD Penuh+ dengan pengimbas cap jari terbina di dalam paparan.
Pada jabatan pengimejan, ia ada trikamera yang boleh berputar untuk menjadi kamera depan dan belakang. Ia ada kamera 32MP, 8MP, dan TOF untuk mengukur kedalaman medan.
Menguasakan segala kelengkapan elektronik telefon ini adalah bateri berkapasiti 3,700mAh yang dicas pantas melalui blok 25W.