Huawei baru saja lancarkan Nova 5T pada harga RM1,599 tempoh hari. Benda ini jarang berlaku sebab kebiasaannya, Huawei meletakkan harga produk-produk mereka sedikit lebih tinggi berbanding Honor.
Tapi pada kali ini, Nova 5T lebih murah daripada produk setaranya di kem Honor. Honor 20, pesaing Nova 5T adalah RM100 lebih mahal iaitu RM1,699. Kalau anda perasan juga, RM1,599 adalah harga untuk model asas Xiaomi Mi 9T Pro.
Ada sejumlah rakan-rakan kita yang perasan akan hal itu dan berdiskusi tentang mana yang lebih bagus untuk dimiliki, Nova 5T ataupun Mi 9T Pro. Jadi dalam artikel ini saya akan bentangkan perbandingan antara kedua telefon itu.
Bila boleh beli?
Mi 9T Pro diumumkan pada minggu sudah dan anda boleh belinya bermula 30 Ogos 2019 secara dalam talian dan juga kedai fizikal.
Nova 5T pula hanya akan mula dijual 7 September 2019 ini. Jadi jika anda perlukan telefon untuk ambil gambar perbarisan Hari Kebangsaan 2019 ini, hanya Mi 9T Pro tersedia untuk anda.
Nova 5T ada RAM dan storan lebih luas
Pada harga RM1,599 yang sama, Nova 5T ada RAM 8GB dan storan 128GB walhal Mi 9T Pro ada RAM 6GB dan storan 128GB. Mungkin anda takkan rasa perbezaan ketara beza 2GB RAM keatas prestasi.
Tapi bahagian storan tentunya penting sebab kedua-dua telefon ini tidak didatangkan bersama-sama slot hibrid untuk memperluas storan melalui kad mikro-SD. Maka, anda terlekat selama-lamanya dengan storan dalaman yang hadir bersamanya.
Tidakkah beza 64GB antara Nova 5T dan Mi 9T Pro adalah signifikan?
SoC Snapdragon 855 vs Kirin 980
Xiaomi Mi 9T Pro diperkasa SoC Snapdragon 855 manakala Nova 5T oleh Kirin 980. Snapdragon 855 (SD 855) dan Kirin 980, kedua-dua mereka ialah flaghip untuk pengeluar masing-masing. Walaupun mereka dibangunkan daripada litografi 7nm, konfigurasi teras antara kedua-duanya adalah berbeza.
Daripada jadual di atas, anda boleh lihat mereka adalah SoC oktateras. Teras paling atas merujuk pada teras berkuasa tinggi manakala yang paling bawah adalah teras cekap tenaga. Konsepnya adalah untuk menggunakan teras yang sesuai dengan bebanan kerja yang ingin diselesaikan. Untuk maklumat itu, anda boleh rujuk artikel terdahulu kami.
Anda boleh lihat secara purata, SD 855 ada clockspeed yang lebih tinggi yang mencadangkan prestasi yang lebih baik berbanding Kirin 980. Rata-rata ramai yang bersetuju dengan kemampuan SD 855 untuk gaming walaupun tidaklah pernah dibuktikan secara saintifik.
Kirin 980 pula terkenal dengan kecekapan tenaganya yang tinggi. Ia tidaklah menghairankan sebab SoC ini hanya digunakan pada produk Huawei dan sudah tentu ia dioptimumkan sebaiknya kerana meraka ada hubungan langsung dengan produk yang ingin dikeluarkan.
Trikamera belakang vs kuadkamera belakang
Berikut adalah konfigurasi semua komponen-komponen optikal pada Nova 5T dan Mi 9T Pro.
Secara kasar, anda boleh lihat Nova 5T ada satu kamera melebihi Mi 9T Pro. Tapi jika anda perasan dua kamera pada Nova 5T adalah kamaera 2MP yang hanya dikawal oleh sistem telefon dan bukannya pengguna walhal di Mi 9T Pro, ketiga-tiga kamera boleh diaktifkan oleh anda secara manual.
Mi 9T tak perlukan kamera bokeh khas untuk mengambil gambar bokeh dan kamera makro pada Nova 5T, kalau ada kegunaanpun, manfaatnya sangatlah kecil. Saya lebih rela beli lensa pihak ketiga untuk dipadankan pada kamera 48MP yang ada 24 kali ganda lebih piksel untuk ambil gambar makro.
Untuk swafoto, Nova 5T ada kelebihan kerana ada kamera 32MP berbanding 20MP pesaingnya itu.
Mi 9T Pro pula ada kelebihan pada kamera telefoto yang tiada pada Nova 5T. Itu hal specs teknikal kamera, tapi pada pengalaman kamera, saya lebih gemari Huawei sebab:
- APP kamera yang lebih optimum dan intuitif
- Nightmode yang tak mampu ditandingi pengeluar lain
Jika anda meragui kenyataan saya, anda boleh pergi ke kedai fizikal Xiomi dan cuba lakukan tangkapan selanjar dengan cara tap butang shutter berulang kali dan lihat berapa banyak gambar yang mampu ditangkap telefon Xiaomi.
Xiaomi Mi 9T Pro lebih tahan lama sebab bateri besar?
Telefon yang kehabisan bateri lebih baik dijadikan batu ladung memancing. Kalau anda perlukan telefon berbateri besar, Mi 9T Pro adalah pilihan anda. Berbekalkan 4,000mAh ia ada bateri 2% lebih besar berbanding 3,750mAh pada Nova 5T.
Berita baik, kedua-dua telefon menyokong sistem pengecasan pantas dan Mi 9T Pro mampu menerima masuk tenaga setinggi 27W pada satu-satu masa. Malangnya, blog pengecas sepantas itu tidak disertakan dalam kotak sebaliknya hanya 18W.
Di pihak Nova 5T, ia menyokong pengecasan pantas 22.5W dan blok pengecas yang mampu mengalirkan tenaga setinggi itu turut disertaka dalam kotak. Tapi, langit tak tak selalunya cerah.
Anda perlu ketahui yang pengecasan pantas SuperCharge Huawei perlukan kabel khas yang berwarna ungu untuk mengaktifkan pengecasan pantas sebaliknya Xiaomi lebih terbuka dengan jenis kabel yang digunakan.
Apa yang Mi 9T Pro lebih?
Angkat saja telefon di bahagian muka anda akan perasan yang paparannya hampir simetri tanpa takuk sebab kamera selfienya disembunyikan dalam mekanisme pop-up. Namun, untuk pengguna yang cemerkap, mekanisme bergerak mungkin menyumbang risiko rosak yang lebih tinggi.
Untuk lebih selamat, Nova 5T, walaupun tiada mekanisme pop-up, ia ada paparan berlubang di sudut kiri.
Selanjutnya, Mi 9T Pro ada paparan sedikit lebih besar. Perbezaan relatifnya boleh anda lihat dalam gambar di bawah.
Lagi berkaitan paparan, anda pasti teruja dengan Mi 9T Pro sebab hanya dia yang gunakan panel AMOLED yang terbukti lebih baik dan cekap tenaga berbangin skrin LCD yang digunakan Nova 5T. Untuk gamers pula, Mi 9T Pro ada jek audio di bahagian atas telefon.
Kesimpulan
Kepada siapa saya sarankan Nova 5T? Yang suka ambil gambar, telefon ini pasti takkan mengecawakan. Gambar malam anda akan jauh lebih baik berbanding telefon Xiaomi. Ketahanan baterinya juga baik untuk kegunaan kasual.
Kepada siapa saya sarankan Mi 9T Pro? Tentulah pada gamers tegar. Dia ada SoC berkuasa, bateri besar, serta jek audio untuk earfon anda. Tapi anda dapat telefon dengan storan yang lebih kecil.
Apa pendapat anda? Kalau bercanggah, turunkan dalam ruangan komen.
- Laman rasmi Huawei Nova 5T
- Laman rasmi Xiaomi Mi 9T Pro