Jika anda tidak memerlukan kuasa tertinggi ZenBook Pro Duo untuk menggunakan dwi-skrin, anda boleh juga mendapatkan model yang berharga lebih rendah, ZenBook Duo. Ia memiliki skrin kedua ScreenPad Plus yang sama, juga dengan fungsi sentuhan tetapi resolusi tidak mencapai 4K.
Tenaga penggerak untuk ZenBook Duo menggunakan pemproses Intel Core-i generasi ke-10, antara laptop terawal yang menggunakannya. Kuasa grafik pula dijana dari cip GPU NVIDIA GeForce MX250 yang dilengkapi 2GB GDDR5 VRAM.
RAM yang digunakan pula dari jenis LPDDR3 berkelajuan 2133MHz, boleh dimuatkan sehingga 16GB. Storan SSD boleh dipasang di dalamnya sehingga 1TB.
Skrin utama ZenBook Duo memiliki bingkai NanoEdge yang sangat nipis. Skrinya pula berukuran 14.0-inci tanpa fungsi sentuhan, dari jenis IPS LCD dan resolusi HD Penuh 1920×1080. Skrin kedua pula berukuran 12.6-inci, tetapi memiliki fungsi sentuhan. Banyak yang boleh digunakan pada skrin kedua ini dari mengedit video, menggubah gambar, memainkan lagu dan banyak lagi.
Bagi memuatkan skrin kedua, ruang meletak tapak tangan terpaksa dikorbankan. Trackpad pula terpaksa diletak di kiri dan ia digabungkan dengan kekunci numpad digital.
Bagi sambungan, ia memiliki port USB 3.0, USB-C, jek audio HDMI serta pembaca kad mikroSD. Ia turut dipasang dengan teknologi WiFi terpantas, WiFi 802.11ax serta Bluetooth 5.0.
Sedikit sebanyak, apa yang ditawarkan oleh ZenBook Duo amat menyerupai ZenBook 14 dengan tambahan skrin kedua di atas papan kekunci. Harga jualan ZenBook Duo di Malaysia bermula dari RM4,699 yang dilengkapi RAM 8GB, storan SSD 512GB dan CPU Intel Core i5, hanya RM200 lebih mahal dari spec yang sama dengan ZenBook 14.
Manakala versi lebih tinggi berharga RM5,699 dan ia dilengkapi CPU Intel Core i7, RAM 16GB dan storan SSD 512GB. ASUS hanya menyediakan satu warna sahaja untuk Zenbook Duo, iaitu Celestial Biru atau biru gelap. Maklumat lanjut tentang laptop ini boleh didapati di laman web ASUS ZenBook Duo.