OpenSignal, pengumpul data dan maklumat prestasi rangkaian mudah alih sedunia, baru-baru ini memilih YES 4G sebagai rangkaian 4G LTE terbaik di Malaysia. Perkara ini berdasarkan data yang dikumpulkan melalui 75,288 pengguna telefon pintar di Malaysia, selama 3 bulan di antara 1 Jun 2017 – 31 Ogos 2017.
Rangkaian YES 4G oleh YTL Communications, boleh dikatakan agak muda dalam arena 4G LTE di Malaysia. Walaupun masih baru dalam bidang LTE apabila dilancarkan pada tahun 2016, YES sebenarnya telah lama berada dalam bidang telekomunikasi kerana telah menyediakan perkhidmatan internet mudah alih WiMax sejak tahun 2010.
Keputusan YES untuk beralih dari WiMax ke LTE nampaknya sangat tepat. Apatah lagi apabila YES memilih untuk menjadi penyedia 4G LTE sepenuhnya yang pertama di Malaysia, bersama servis panggilan VoLTE.
Ini dibuktikan apabila OpenSignal memilih YES 4G sebagai penyedia rangkaian mudah alih terpantas, serta sambungan LTE terbaik di Malaysia. Dalam laporan tersebut, pengguna YES 4G dapat bersambung ke rangkaian 4G sebanyak 93.2% sepanjang masa. Ini jauh meninggalkan pesaing lain seperti Maxis pada 80.45%, Celcom 73.5%, Digi 72.87%, Webe (unifi) 65.79% dan U Mobile 62.61%.
Kelajuan muat turun 4G pula, didahului oleh Maxis dengan kepantasan 23.59Mbps. YES 4G menuruti di tangga kedua dengan 19.03Mbps manakala Celcom hanya 16.15Mbps, Digi 11.77 MBps, U Mobile 7.2Mbps dan Webe (unifi) 6.76Mbps.
Tetapi apabila kelajuan ini digabungkan secara keseluruhan antara 3G & 4G, YES mengekalkan kelajuan 19.03MBps, mengatasi Maxis dengan kepantasan 13.44Mbps. Celcom mencatat kelajuan 9.08Mbps, Digi 6.34Mbps, Webe (unifi) 4.65Mbp dan U Mobile hanya 4.23Mbps.
Menurut OpenSignal, kelajuan purata penyedia internet mudah alih sedunia adalah 16Mbps. Ini bermakna, hanya YES 4G menyediakan kelajuan keseluruhan melebihi kelajuan purata sedunia. 5 lagi telco berada di bawah paras purata dunia.
Dari laporan ini, kita dapat melihat bagaimana keputusan YES 4G untuk menjadi penyedia rangkaian LTE sepenuhnya memberi kesan yang sangat positif buat penggunanya. YES 4G mengabaikan terus rangkaian 2G & 3G dan memberi fokus kepada rangkaian 4G.
CEO YES, Wing K Lee (kiri) bersama COO YES, Ali Tabassi (kanan) menunjukkan kelajuan YES 4G di SpeedTest
Tetapi kepantasan dan sambungan dalam laporan ini sudah pasti memihak kepada YES 4G, kerana mereka tiada servis 3G langsung. Liputan 3G yang lebih meluas sudah pasti membuatkan pengguna telco lain tidak bersambung ke rangkaian 4G dalam masa tertentu, terutama di luar kawasan bandar. Dalam hal ini, bersambung ke rangkaian 3G bermakna kurangnya masa bersambung ke rangkaian 4G. Berbeza dengan YES 4G, di mana sambungan mereka adalah 4G atau tiada langsung. Jadi yang dikira hanyalah 4G.
Di bahagian kelajuan pula. Oleh kerana YES 4G hanya ada rangkaian 4G, maka purata kelajuan mereka sudah pasti jauh lebih tinggi daripada rangkaian 3G. Untuk telco lain, purata kelajuan mereka terpaksa digabungkan dengan kelajuan 3G, maka mereka mendapat purata kelajuan yang jauh lebih rendah. Berbeza dengan YES di mana purata keseluruhan adalah sama dengan purata 4G.
Tetapi ini belum mengambil kira tentang liputan rangkaian. Contohnya, perbandingan liputan YES 4G dan Celcom di bawah ini, memperlihatkan besarnya jurang kawasan yang diliputi rangkaian YES berbanding Celcom. Tetapi ini tidak bermakna YES kurang bagus, cuma ia sesuai untuk mereka yang berada di dalam kawasan liputan dan jarang keluar darinya, seperti tinggal dan bekerja di dalam bandar sahaja.
Laporan ini sedikit sebanyak menunjukkan jika telco di Malaysia berubah kepada rangkaian baru, prestasi rangkaian mereka pasti meningkat seperti YES 4G. Kita boleh lihat kualiti rangkaian 4G di Maxis dan YES yang sangat bagus. Tetapi Webe (unifi) dan U Mobile pula, rangkaian 4G mereka jauh ketinggalan dari Maxis dan YES.
Banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam sudut rangkaian 4G bagi Webe (unifi) dan U Mobile. Tetapi Celcom, Digi, Maxis dan YES masih tidak boleh leka untuk memastikan kualiti rangkaian mereka berada di tahap memuaskan pengguna.
Apa pula pendapat anda tentang laporan OpenSignal tentang rangkaian mudah alih di Malaysia ini? Adakah anda bersetuju atau ada pandangan lain tentang laporan ini? Kongsikan bersama kami dalam ruangan komen. Jika mahu membaca laporan penuh, ia boleh dimuat turun di laman web OpenSignal.