Pocophone memulakan tahun baru dengan mengumumkan mereka akan bergerak sendiri sebagai entiti berbeza dari Xiaomi selepas ini. Pengurus Besar Poco India, C Manmohan menjelaskan, Poco akan menggunakan khidmat Xiaomi untuk perkhidmatan selepas jualan, tetapi telah bersedia dengan pasukan produk, penjualan dan pemasaran tersendiri.
Selain itu, Poco juga akan melancarkan telefon baru mereka bulan hadapan. Tarikh yang telah ditetapkan ialah pada 4 Februari 2020. Lebih menarik lagi, ia bukanlah Poco F2 seperti yang dinantikan ramai, sebaliknya akan dikenali sebagai Poco X2.
Satu laman mikro berkenaan Poco X2 telah dibangunkan dan boleh diakses di smoothaf.co.in. Laman ini direka untuk paparan di telefon pintar dan ia akan memberi jawapan berbeza, bergantung kepada jenis skrin telefon.
Ini kerana, Poco X2 dikatakan akan dilengkapi paparan sepantas 120Hz. Laman berbeza akan muncul bergantung kepada refresh rate skrin telefon samada 60Hz, 90Hz atau 120Hz.
Selain itu, laman Poco India juga telah memberi beberapa petunjuk berkenaan Poco X2. Selain skrin 120Hz, ia akan turut memiliki kamera 64MP menggunakan sensor Sony IMX686, kuasa pemproses Qualcomm Snapdragon, sistem penyejukan lebih maju dan pengecasan pantas melalui USB-C.
Tiada petunjuk yang jelas untuk mengatakan apakah jenis pemproses yang digunakan. Poco F1 dahulu sangat popular kerana ia merupakan peranti berkuasa Snapdragon 845 paling murah boleh dibeli pada masa itu. Tetapi khabar angin kuat mengatakan Poco X2 tidak menggunakan kuasa Snapdragon 865, memandangkan Poco tidak memberi petunjuk ke arah itu, berbeza dengan petunjuk kamera IMX 686.
Satu lagi perkara menarik dalam petunjuk ini ialah, Poco X2 masih mengekalkan jek audio 3.5mm di bawah telefon. Jeriji pembesar suara terdapat di bawah, tetapi ia tidak memberitahu samada bunyinya stereo atau mono.
Petunjuk paling besar boleh dikatakan dari gambar pengecasan pantas ini ialah, ia sangat mirip dengan gambar rasmi Redmi K30 yang telah dilancarkan di China. Dari sini boleh dikatakan, Poco X2 mungkin mengambil rekabentuk badan dari Redmi K30.
Poco X2 Redmi K30
Terdapat dua model Redmi K30 iaitu Redmi K30 4G dan Redmi K30 5G dengan spesifikasi jauh berbeza. Jadi, Poco X2 akan menuruti model yang mana?
Bentuk badan Redmi K30 4G & 5G adalah sama. Ia memiliki skrin LCD 120Hz berukuran 6.67-inci dengan resolusi HD Penuh. Skrin ini memiliki lubang bujur di atas, seperti Galaxy S10+ yang memuatkan dua kamera hadapan 20MP + 2MP. Bateri di dalamnya berkapasiti 4,500mAh.
Perbezaan antara dua telefon ini ialah, K30 4G dikuasakan pemproses Snapdragon 730G manakala K30 5G pula menggunakan Snapdragon 765G yang terbina di dalamnya modem 5G. Kamera belakang pula, di K30 5G terdapat empat kamera iaitu kamera utama 64MP F1.9 dengan sensor Sony IMX686, kamera ultra lebar 8MP F2.2, kamera super makro 5MP F2.4 dan kamera pengesan kedalaman 2MP F2.4. Kamera yang sama ada di K30 4G dengan perbezaan pada kamea super makro 2MP sahaja.
Di China, Redmi K30 4G telah dijual bermula dari harga RMB1,599 (~RM945) dengan RAM 6GB dan storan 64GB. Untuk Redmi K30 5G dengan spesifikasi yang sama, harganya ialah RMB1,999 (~RM1,182).
Kuat kami rasakan bahawa Poco X2 akan menuruti jejak Redmi K30 4G kerana Poco langsung tidak menyebut tentang 5G. Tetapi mungkin kami salah jika Poco cuba membuat kejutan semasa pelancaran kelak. Cuma, terasa kurang ‘WOW’ lagi bila Poco tidak menggunakan pemproses Snapdragon 865.
Tetapi, adakah Poco X2 boleh memecah benteng harga untuk menjadikan ia peranti termurah dalam kelasnya? Kita nantikan pengumumannya pada 4 Februari 2020.
Sumber: GSMArena