Samsung akan mengadakan satu majlis pelancaran Galaxy Unpacked pada 11 Februari 2020. Walaupun belum berkongsi apakah produk yang akan dilancarkan, dari berita yang tersebar di internet kuat mengatakan ia adalah majlis pelancaran siri Galaxy S20 dan telefon skrin boleh lipat, Galaxy Z Flip.
Sebelum ini, Roland Quandt telah berkongsi gambar jelas keluarga Galaxy S20 dan kini, beliau berkongsi pula gambar jelas tentang Galaxy Z Flip. Telefon ini memiliki model nombor SM-F700. Terdapat dua warna yang dimuat naik iaitu Ungu dan Hitam.
Galaxy Z Flip ini memiliki skrin boleh lipat di dalam, berukuran 6.7-inci dari jenis Dynamic AMOLED, serta resolusi HD Penuh. Ia mempunyai lubang kecil di atas, yang memuatkan kamera hadapan 10MP F2.4 di dalamnya. Skrin ini menggunakan kaca ultra nipis yang membolehkan ia dilipat dengan kesan lipatan yang kurang kelihatan, serta lebih tahan lasak berbanding plastik.
Di luar pula, terdapat skrin kecil berukuran 1.06-inci, juga dari jenis Super AMOLED yang digunakan untuk memapar notifikasi. Terdapat dua kamera di luar, iaitu kamera utama 12MP F1.8 dan kamera ultra lebar 12MP F2.2.
Rupa lipatan di Galaxy Z Flip sangat mirip dengan Galaxy Fold. Gigi gear dilindungi dengan perumah manakala bingkai ditinggikan berbanding skrin. Dengan ini, apabila ditutup tidak akan kelihatan ruang terbuka.
Walaupun menggunakan skrin AMOLED, telefon ini tidak menggunakan pengimbas capjari di dalam skrin. Sebaliknya ia terletak di tepi, digabungkan dengan butang kuasa. Di bawahnya pula, hanya ada port USB-C dan jeriji pembesar suara, tiada jek audio 3.5mm kelihatan.
Selain gambar, Rolandt turut berkongsi senarai penuh spesifikasi Galaxy Z Flip. Antaranya, ia akan dikuasakan pemproses Snapdragon 855+, RAM 8GB dan storan UFS 3.0 256GB. Tiada slot mikroSD padanya.
Kamera belakang akan dilengkapi penstabil imej optikal (OIS) serta boleh merakam video sehingga UHD 4K 60fps. Bateri di dalamnya sebesar 3,300mAh dan menyokong pengecasan pantas 15W serta pengecasan wayarles. Ia turut disenaraikan dengan pembesar suara stereo bersama Dolby Atmos.
Galaxy Z Flip dijangka akan mula dijual di Eropah pada 14 Februari 2020 dengan harga sekitar EUR1,500 (~RM6,756). Malaysia sering menjadi pasaran terawal, termasuk Galaxy Fold. Jadi kami menjangkakan telefon Galaxy Z Flip juga akan dijual di Malaysia dalam gelombang pertama penjualannya, dengan harga lebih rendah dari Eropah.
Kita nantikan pengumuman penuh Samsung pada acara Galaxy Unpacked pada 11 Februari 2020.