Seperti Xiaomi, jenama Realme menjadi popular kerana harga telefon pintarnya yang murah dengan spesifikasi lebih berkuasa. Salah satu modelnya yang menjadi pilihan ramai ialah siri C. Selepas menjual Realme C1 dan Realme C2, Realme tidak lama lagi akan melancarkan generasi ketiganya, Realme C3.
Realme C3 akan dilancarkan pada 6 Februari 2020 di India. Realme India telah membuka laman mikro berkenaan pelancaran telefon yang amat mampu milik ini dan memberikan beberapa petunjuk berkenaan telefon tersebut.
Dari gambar banner paling atas di laman mikro tersebut, ia menunjukkan terdapat dua variasi Realme C3 iaitu dengan RAM 3GB dan storan 32GB, serta RAM 4GB dan storan 64GB. Sebelum ini, Realme C2 ditawarkan dengan konfigurasi tertinggi RAM 3GB dan storan 32GB sahaja.
Ini diikuti dengan kapasiti bateri 5,000mAh di dalamnya, lebih besar dari model sebelumnya. Ia juga akan dipasang dengan skrin berukuran 6.5-inci beserta takuk kecil titisan air. Malah, Realme turut menyenaraikan kaca Corning Gorilla pada Realme C3, tetapi tidak menyebut nombornya.
Untuk kamera, terdapat dua kamera di belakang dan satu kamera di hadapan. Tiada spesifikasi kamera diletakkan, tetapi dari gambar ini tertera 12MP F1.8-F2.4. Kami yakin, ia bukanlah bermaksud kamera ini memiliki dua apertur seperti di Samsung Galaxy Note 10, sebaliknya kamera utamanya ialah 12MP F1.8 dengan kamera kedua, kebiasaannya kamera potret 2MP dengan apertur F2.4.
Dari gambar telefon yang dipaparkan, bahagian belakangnya separuh tersembunyi serta bahagian atas dan bawah telefon juga tidak kelihatan. Ada ura-ura mengatakan telefon ini akan dilengkapi pengimbas capjari di belakang, satu naik taraf kerana ia tidak ada di Realme C2. Jek audio juga dirasakan masih ada memandangkan ia adalah telefon kelas permulaan.
Satu lagi persoalan adalah kuasa pemprosesnya yang masih tidak diketahui. Realme C2 sebelum ini dikuasakan oleh cip Mediatek Helio P22. Adakah Realme akan kekal menggunakan cip Mediatek atau beralih ke cip Snapdragon? Ini kena tunggu di pelancarannya pada 6 Februari nanti.
Realme C2 telah dijual di Malaysia pada harga RM349 dengan RAM 2GB dan storan 16GB, RM399 dengan RAM 2GB dan storan 32GB serta RM449 dengan RAM 3GB dan storan 32GB. Adakah Realme C3 kelak boleh mengekalkan harga amat mampu miliki seperti ini?
Sumber: Realme