Dalam kalangan pengguna kebanyakan, OnePlus mungkin adalah nama yang sedikit asing dek kurangnya pendedahan media terhadap mereka. Namun, dalam dunia “bawah tanah”, OnePlus digeruni pengeluar telefon yang lebih besar. Mana taknya, syarikat ini mampu mengeluarkan telefon berstatus flagship pada harga mid-range!
Sudah tentu ia menjadi pengucar kacir pasaran (market distruptor) dan seterusnya menjadi satu peringatan kepada pengeluar yang lain untuk tidak menokak pengguna dengan telefon yang mahalnya tidak sepadan dengan spesifikasi yang diberikan.
Yang terbaru adalah daripada OnePlus adalah model 5T yang dilancarkan November 2017. Ia dibangunkan untuk menggantikan model 5 yang dijual di Malaysia Jun 2017 yang lalu.
Terdapat beberapa penambahbaikan dilakukan pihak OnePlus keatas 5T. Ini adalah spesifikasi OnePlus 5T
Rekaan: Kekal DNA Kekal Bergaya
Sekilas pandang sejurus memegang OnePlus 5T, anda pasti rasakan ia menyamai OnePlus 5. Namun begitu terdapat beberapa perbezaan daripada rupa parasnya.
Yang paling ketara adalah paparan telefon ini lebih panjang berbanding sebelumnya. Abjad “T” pada 5T mungkin bermaksud Tall dan ia merujuk pada paparan 18:9 yang menghiasi hampir 80% bahagian muka telefon.
Sungguhpun memiliki panel HD penuh 6″, saiz telefon ini tidak jauh bezanya semasa ia menggayakan panel 5.5″.
Badannya masih utuh diperbuat daripada alumunium sepenuhnya bersama-sama sedikit kemasan plastik bagi melindungi antena telekomunikasi pada bahagian atas dan bawah telefon.
Butang ikonik untuk mute-kan telefon kekal berada disebelah kiri manakala butang kawalan bunyi dan kuasa dihimpunkan pada sebelah sisi kanan telefon. Masih mengekalkan ideologi konservatif mereka, OnePlus belum lagi membuang jek audio 3.5mm yang boleh ditemui di sebelah dagu telefon.
Jek ini, bersama-sama jeriji speaker mengapit port USB-C.
Demi memenuhi trend semasa, bahagian muka telefon jadi ketandusan ruang untuk meletakkan komponen pengimbas cap jari. Maka, komponen itu dipindahkan pada sebelah belakang telefon.
Berhampiran pengimbas cap jari, anda akan menemui bonjolan yang menempatkan kamera berkembar serta lampu flash LED.
Bonjolan kamera yang agak tebal dapat diperhatikan dan anda mungkin perlu membeli casing sejurus mendapatkan telefon ini. Jika tak, alamatnya calar pasti menghinggap bonjolan ini.
[nextpage title=”Pengalaman Guna: Lancar & Tangkas”]
Penanda Aras Sintetik
Daripada sudut penanda aras sintetik, OnePlus 5T berjaya mencatatkan hasil yang memberangsangkan untuk digolongkan bersama flagship yang lain. Contohnya,pada Antutu Benchmark, ia berada pada kedudukan ke-4 diatas pengguna cip Snapdragon 835 seperti HTC U11, Nokia 8, dan Mi 6.
Untuk Geekbench pula, keputusan seperti tak memihak pada OnePlus 5T. Kebanyakan telefon yang berada di bawah telefon ini adalah flagship 2017 yang menggunakan Snapdragon 820/821, baik daripada segi multiteras ataupun ekateras.
Tapi perlu saya ingatkan pada anda yang pendanda aras sintetik tidak melambangkan prestasi sebenar sesuatu produk. Ia hanya bertindak sebagai penunjuk kasar dan pengalaman mengguna seharianah yang menentukan prestasi sebenar.
Sistem Operasi
Beralih kita ke sistem operasi OnePlus 5T. Telefon ini menjalankan Android N Nougat yang bersalut OxygenOS. Sistem operasi OnePlus senantiasa menadapat pujian kerana ke-minimalistic-an yang dipamerkan padanya.
Ia hampir menyamai pengalaman menggunakan Google Nexus/Pixel kerana pada OxygenOS, hampir sifar bloatware boleh ditemukan.
Fungsi Face Unlock pada OnePlus 5T adalah yang terbaik pernah disaksikan Android. Ia amat pantas sehinggakan anda tak sempat melihat Lockscreen sebaliknya terus dibawa ke home.
Semuanya dilakukan hanya menggunakan kamera depan 16MP yang dimilikinya, tiada apa-apa perkakasan khas diperlukan.
Melayani Kandungan Multimedia
Untuk melayani kandungan multimedia, OnePlus 5T memiliki skrin 6” beresolusi HD Penuh daripada jenis AMOLED. Menggunakan panel AMOLED mampu memberikan penghasilan warna yang lebih baik berbanding LCD. Misalnya, anda akan dapati warna hitam AMOLED lebih gelap kerana panel jenis ini tidak memerlukan cahaya latar seperti LCD.
Pada jabatan audio, speaker boleh ditemui pada bahagian dagu telefon, bersebelahan port USB-C. Bunyinya “cukup makan” dan sedap didengar. Sudah jangkaan yang meninggi tak boleh diletakkan untuk sebuah speaker sekerdil ini.
Hayat Bateri
Reputasi OnePlus 5T pada prestasi bateri adalah sesuatu yang tak perlu diperkenalkan lagi. Jika anda seorang peminat OnePlus daripada OnePlus 3, teknologi Dash Charge yang disertakan bersama telefon ini adalah yang terpantas dunia. Rekod itu masih dipegang OnePlus hinggalah ke OnePlus 5T.
Bateri yang membekalkan kuasa kepada segala komponen elektronik peranti ini memiliki kapasiti 3,200mAh tapi ia boleh dicas penuh dalam masa hanya 1 jam 30 minit. Untuk perbandingan, saya pernah mengulas tentang kadar mengecas pada Xiaomi Mi A1 yang mempunyai bateri 3,080mAh.
Mi A1 mengambil masa hampir 2 jam untuk mengisi bateri yang lebih kecil berbanding bateri OnePlus 5T.
Berikut adalah rumusan tentang kadar mengecas OnePlus 5T:
- 26 minit mengecas daripada hampir 0% mencatatkan 50% peningkatan bateri
- 30 minit mengecas memberikan saya 59% bateri
- Mengecas penuh mengambil masa 1 jam 33 minit
Walau bagaimanapun, Dash Charge bukan sesuatu yang universal dan anda hanya boleh menikmati pengecasan pantas menggunakan blok pengecas yang hadir bersama telefon. Anda boleh juga menggunakan pengecas kereta VOOC yang dijual di pasaran tapi harganya agak mahal.
Lebih bagus kalau Quick Charge 3.0 diaktifkan kerana teknologi ini hadir dalam lebih banyak pengecas termasuklah pengecas kereta pada harga yang tidak membocorkan poket.
Untuk sebuah telefon dengan bateri 3,200mAh, waktu berkhidmat yang diberikannya agak baik. Contohnya, bila saya mulakan hari dengan bateri penuh, agak sukar untuk mengosongkan bateri itu dalam masa hanya sehari.
Bila saya bersiap sedia untuk tidur, masih terdapat baki 20% >25% bateri untuk digunakan.
Pada segi pola penggunaan, saya bukanlah “kaki game”. Kebanyakan masa, saya menggunakannya pada aplikasi sosial, Spotify, YouTube, Waze, dan Google Mpas untuk navigasi.
[nextpage title=”Kamera: Tiada Kompromi Antara Depan & Belakang”]
Biasanya, kamera pada telefon memberi penekanan kepada salah satu sama ada depan dan belakang. Misalnya, kamera yang ditujukan untuk kaki swafoto memiliki kamera depan yang mantap tetapi kamera belakang yang biasa-biasa. Ada pula yang berikan kamera belakang yang “overkill” sehinggakan membunuh kamera depan tanpa sengaja.
Tapi pada OnePlus 5T, kedua-dua kamera depan dan belakang menerima sensor berkuasa tinggi.
Kamera belakang dikuasakan sensor 16MP IMX398 bersama-sama sensor 20MP IMX376K. Mereka memiliki lensa berapertur F1.7 serta jarak fokal serupa iaitu 27.22m (setara 35mm). Implimentasi dwikamera padanya sama seperti Huawei iaitu satu kamera RGB dan satu lagi kamera monokrom.
Ia dikatakan boleh mingkatkan ketajaman gambar kerana kamera monokrom hanya menyandang tanggungjawab merakam butir gambar manakala sensor RGB merakam maklumat warna.
Daripada segi kemampuan video, telefon ini merakam video 4K pada kadar 30fps, 1080p sehingga 60fps ataupun slow motion 120fps pada resolusi 720p.
Untuk berswafoto, OnePlus 5T menyediakan kamera 16MP F2.0 kepada penggunanaya. Kamera depan juga mampu merakam video HD penuh pada kadar 30fps.
Pada aplikasi menangkap gambar, APP tersebut memiliki rekaan yang minimalistik dengan semua tetapan disusun secara intuitif dan mudah difahami. Walau bagaimanapun, mode yang hadir agak terhad dan tidak setanding APP kamera pada telefon Huawei.
Berkemungkinan OnePlus menyedari yang pengguna utama telefon ini tidaklah begitu kearah fotografi tetapi lebih kepada pengguna “power user”
Namun begitu, hasil gambar daripada lensa OnePlus5 5T tidaklah boleh dipandang enteng. Mari kita lihat contoh-contoh gambar yang sempat saya ambil.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, OnePlus 5T masih mewarisi DNA flagship killer yang dimiliki sejak turun temurun. Penggunaan cip pemproses terbaru, kehadiran teknologi Dash Charge, serta tambah baik pada kameranya pasti menjadikan telefon ini lebih digeruni pesaing.
Namun begitu, jika dibandingkan dengan flagship super premium seperti Galaxy Note8, iPhone X, dan lain-lain. OnePlus agak ketinggalan kerana pesaingnya sudahpun ada ciri tahap kekalisan air/debu IP68 serta pengecasan wayarles.
Jika dulunya nama Xiaomi dan OnePlus sering dicanang sebagai alternatif kepada flagship yang mahal daripada Samsung, Huawei, HTC, dan Sony. Tapi kini, OnePlus seperti sudah meninggalkan Xiaomi untuk duduk semeja dengan flagship berharga premium.
Sejak OnePlus 3T, harga OnePlus sudahpun melangkaui RM2,000 dan untuk OnePlus 5T, anda perlu mengeluarkan sejumlah:
- RM2,449 untuk varian RAM 6GB & storan 64GB
- RM2,748 untuk varian RAM 8GB & storan 128GB
Walau bagaimanapun, untuk “power user” yang tidak berbajet besar, OnePlus 5T adalah sesuatu yang berbaloi untuk dimiliki oleh sebab ketinggian fleksibiliti miliknya. Mereka yang sering bergelumang dengan perkataan seperti “root”, “rom”, dan “magisk” sudah tentu sudah mengunci titik bidik mereka pada telefon ini.
Buat pengguna biasa yang dilimpahi papan iklan Apple, OPPO, Samsung, dan vivo di sepanjang perjalanan anda ke pejabat, saya sangat menyarankan anda untuk merasai produk OnePlus.