Melalui satu strim khas yang diadakan, Sony telah berkongsi kepada khalayak ramai lebih banyak maklumat tentang spesifiaksi teknikal PS5. Konsol generasi baru ini dijangkan menemui peminatnya sebelum 2020 berakhir.
Kali terakhir Sony berkongsikan maklumat tentang PS5 adalah pada Januari 2020 yang lalu.
Pembentangannya mungkin membosankan pada pengguna biasa seperti saya dan anda, tapi ini adalah intipati pembentangan yang boleh saya suling daripada livestream hampir satu jam tersebut.
Perbandingan specs PS5 dengan PS4
PS5 basmi “Loading Screen”
Perkara pertama yang ingin ditambah baik pada PS5 oleh Sony ialah pada medium penyimpanan data. Kali ini, Sony telah menggantikan HDD kepada SSD.
Seperti anda sedia tahu, keupayaan mengekstrak data daripada SSD jauh lebih pantas daripada HDD dan ia diterjemah kepada jalur data yang lebih luas. Kalau HDD di PS4 miliki kemampuan membaca sehingga 100MB/s, penggunaan SSD khas di PS5 bolehkan ia beroperasi pada 5,000MB/s.
Untuk gamers seperti anda, bolehlah anda jangkakan waktu loading yang hampir tiada terutama jika gunakan fungsi fast-travel dalam game.
PS5 ada storan dalaman 825GB
Agak pelik mengapa sangat spesifik keluasan storan itu dan ia tidaklah diperjelas oleh mereka kenapa. Tapi, angka itu dipilih selepas mereka menganalisa saiz data untuk 100 permainan paling popular di konsol PS4 untuk hadir dengan storan tersebut.
Pengguna boleh tambah storan PS5
PS5 juga dilaporkan ada slot SSD daripada jenis M.2. Walau bagaimanapun, sokongannya agak terhad dan semestinya SSD itu perlu menyokong PCIe 4.0.
Sebab Sony sangat mengehadkan jenis SSD yang boleh digunakan pada konsol generasi seterusnya ini adalah jika jenis yang sebarangan, prestasi keseluruhan PS5 boleh terjejas kerana akan ada bottleneck antara storan dengan sistem.
Sekitar 100 permainan PS4 boleh dimainkan di PS5 sejurus dilancarkan
Sony sedari yang apabila dilancarkan kelak, sudah tentu pilihan permainan untuk PS5 akan terhad. Oleh sebab itu, mereka sedaya upaya memastikan ada sejumlah permainan sedia ada daripada generasi sebelumnya boleh dibawa merentasi generasi untuk dimainkan di hari pertama pelancarannya.
PS5 ada sistem bunyi 3D yang dibangunkan khas
Konsol generasi baharu Sony ini tidak bergantung pada teknologi audio sedia ada, Dolby misalnya. Jadi, jurutera di Sony perlu bangunkan sistem khas untuk mengendalikan jabatan audio pada PS5. Dinamakan Tempest 3D AudioTech, kualiti bunyi yang dihasilkan PS5 kalau dibandingkan dengan grafik adalah secanggih teknologi Ray Tracing.
Daripada semua maklumat yang dikongsikan, satu saja yang tiada. Bagaimanakah rupa PS5 yang bakal anda main kelak.
Tonton pembentangan penuh di bawah.