Perintah Kawalan Pergerakan mengarahkan semua rakyat Malaysia untuk duduk di rumah dan tidak keluar, dari 18 Mac hingga 31 Mac, dan baru sahaja diumumkan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Bagi membantu orang ramai duduk di rumah, pelbagai entiti perniagaan terutamanya syarikat telekomunikasi, tampil dengan inisiatif tersendiri.
Semak dan gunakan semua inisiatif yang ditawarkan sepanjang masa PKP ini untuk manfaat diri sendiri serta keluarga. Senarai ini akan dikemaskini dari masa ke semasa apabila terdapat tawaran baru.
Telekomunikasi – data dan panggilan percuma
Secara kasar, semua syarikat telekomunikasi memberi 1GB percuma setiap hari sepanjang PKP, yang boleh digunakan dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, melainkan dimaklumkan sebaliknya.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, semua syarikat telekomunikasi bersetuju memberi panggilan percuma ke Pusat Kecemasan CPRC. Kebanyakan syarikat telekomunikasi turut memberi akses data percuma untuk melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
1. Celcom
Pengguna Celcom dan Xpax akan menerima 1GB percuma secara automatik sepanjang PKP, tanpa perlu mendaftar atau menebus.
Selain itu, semua pengguna Celcom dan Xpax menerima kuota WhatsApp tanpa had, termasuk untuk panggilan suara dan panggilan video. Prabayar juga boleh membeli pas tanpa had RM2 dan mengunakannya 2x lebih lama, serta terima 10% pulangan tunai dengan tambah nilai di aplikasi Celcom Life.
2. Digi
Untuk menerima 1GB percuma setiap hari, pengguna Digi perlu menebusnya menerusi aplikasi MyDigi. pengguna pascabayar boleh menemuinya di ruangan Rewards, manakala prabayar di dalam ruangan “Box of Surprise”, atau menggunakan kod ringkas UMB di *128#.
Selain itu, pengguna prabayar Digi akan menikmati data dan panggilan percuma apabila membuat tambah nilai.
3. Maxis
Bagi pengguna prabayar dan pascabayar Maxis, anda perlu menebus 1GB percuma setiap hari di dalam aplikasi MyMaxis atau Hotlink Red. Pelanggan pascabayar boleh mendapatkannya di dalam aplikasi dengan klik pada “Get More Data” dan pilih “Free 1GB/ Day Pass” di bawah “Time Based Pass”. Pengguna prabayar pula boleh klik pada banner di muka utama dan pilih “FREE 1GB / Day Pass” atau aktifkan pas di bawah tab ‘Shop’
Selain itu, pengguna pascabayar Maxis dan Hotlink akan diberikan pas 3GB data percuma pada 27 Mac dan sah selama 30 hari. Prabayar Hotlink pula boleh membeli pas HotlinkMU yang datang bersama 20GB data percuma. Sehingga 30% lebih kredit diberikan untuk tambah nilai dalam aplikasi serta pas internet rawak diberikan percuma.
4. U Mobile
Pengguna U Mobile perle menebus 1GB percuma setiap hari. Bagi pengguna prabayar, dail *118*6# dan pilih Special Offer. Untuk pascabayar pula, dail *118*7# dan pilih Special Offer.
Selain itu, pengguna pelan U Mobile tanpa had iaitu Unlimited Hero dan Giler Unlimited, akan menerima kuota hotspot digandakan.
5. TuneTalk
1GB percuma turut diberikan kepada pengguna TuneTalk tetapi ia perlukan sekali pendaftaran. Caranya, hantar SMS “STAYHOME” ke 2222 dan nantikan SMS pengesahan menyatakan pendaftaran berjaya. Baki data boleh disemak dengan menghantar SMS “STATUS” ke 2222 atau melalui aplikasi TuneTalk di bawah label ‘Stay Home Bonus‘.
6. Yes 4G
Tiada 1GB percuma setiap hari tetapi Yes 4G memberikan kad sim percuma kepada semua murid sekolah, dengan kuota 40GB yang sah digunakan selama dua bulan. Aktifkan kad sim sebelum 31 Mei 2020.
7. Unifi Mobile
Tiada 1GB percuma setiap hari tetapi pengguna pascabayar dengan kuota tanpa had, diberi kuota hotspot dinaikkan kepada 999GB. Manakala pengguna prabayar boleh mendapatkan pas #BEBAS Weekly tanpa had bernilai RM20 percuma. Tawaran ini sehingga 14 April 2020.
8. Yoodo
Jika anda mahukan lebih data percuma sepanjang PKP, Yoodo memberikan tawaran terbaik. Bermula 30 Mac sehingga tamat PKP, pengguna Yoodo menerima 1GB data percuma setiap hari dan data ini tidak akan terbuang jika tidak habis digunakan. Ia akan terus terkumpul dan dibawa ke depan, sehingga tamat kitaran penggunaan iaitu setiap 30 hari.
Selain itu, Yoodo juga menjanjikan 1GB percuma pada setiap hari Isnin di bulan April. Jika PKP tamat pada 14 April, pengguna Yoodo masih akan menerima 1GB percuma pada 20 dan 27 April.
9. Maybank2u
Tambah nilai Hotlink, Digi atau Xpax serendah RM30 melalui app/laman Maybank2u akan menerima data internet percuma.
Tonton TV serta strim filem dan drama percuma
1. Astro
Terdapat empat jenis tawaran yang diberikan Astro, mengikut jenis pelanggan.
Bagi pelanggan pek Sukan, Astro membuka semua saluran untuk mereka tonton tanpa bayaran tambahan. Sehingga 30 April 2020.
Untuk pelanggan Astro selain pek Sukan, mereka boleh menonton semua saluran filem secara percuma.
Untuk pengguna NJOI, terdapat empat saluran dibuka percuma untuk ditonton sehingga 14 April iaitu KIX, Nat Geo Wild, Celestial Movies dan Cartoon Network.
Yang bukan pelanggan Astro juga boleh menonton Astro percuma, melalui Astro Go. Sebanyak 22 saluran dibuka di Astro Go dan ia boleh ditonton menerusi laman web Astro Go atau aplikasi mudah alih Astro Go. Pendaftaran Astro Go adalah percuma untuk semua.
2. Unifi TV
Bagi pelanggan Unifi Home Broadband, anda boleh menonton semua saluran di Unifi TV secara percuma. Anda boleh menontonnya menerusi set-top-box (STB) di rumah ataupun melalui aplikasi mudah alih Unifi TV.
3. Iflix
Platform penstriman iflix, turut membuka semua kandungannya untuk ditonton secara percuma. Kandungan iflix boleh diakses menerusi laman web www.iflix.com atau aplikasi mudah alih iflix.