Pada hari Ahad lepas, PDRM telah menyatakan bahawa permohonan rentas negeri bukanlah satu kewajipan, sebaliknya hanyalah pengumpulan data untuk memastikan kelancaran perjalanan dan keselamata orang ramai. Perkara yang ditekankan adalah bergerak merentas negeri mengikut jadual yang ditetapkan PDRM.
Tetapi hari ini, PDRM mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka yang mahu bergerak merentas negeri, harus mendapatkan kebenaran dengan memohon menerusi aplikasi Gerak Malaysia dan menerima pengesahan kebenaran melalui kod QR yang dijana. Aplikasi perlu dikemaskini ke versi 2.5 sebelum permohonan boleh dibuat.
Kod QR ini hanya aktif selama 24 jam dari waktu permohonan diluluskan. Jadi mereka yang mahu bergerak merentas negeri, perlu membuat permohonan pada hari mahu bergerak. Jadual pergerakan yang dikeluarkan oleh PDRM adalah seperti berikut:
- 7 Mei – dari Kuala Lumpur
- 8 Mei – dari Perak, Johor dan Kelantan
- 9 Mei – dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang
- 10 Mei – dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu
Langkah baharu ini diperkenalkan agar orang ramai mengemaskini lokasi dari dan destinasi mereka secepat mungkin. Ia juga untuk memastikan tiada penyalahgunaan atau mereka yang tidak bertanggunjawab mengambil kesempatan untuk bergerak merentas negeri. Selain itu, pengesahan dan kod QR akan memudahkan pihak berkuasa untuk memastikan mereka yang benar-benar perlu bergerak sahaja berada di jalanraya, serta memudahkan pengesanan perjalanan mereka yang didapati positif COVID-19 semasa bergerak merentas negeri.
Jika ada masalah untuk memasang aplikasi Gerak Malaysia atau tiada telefon pintar, permohonan boleh dibuat secara manual di balai polis berhampiran. Bagaimanapun, sila buat temujanji terlebih dahulu dengan menghubungi balai polis tersebut. Bawa bersama borang kebenaran yang diluluskan semasa bergerak merentas negeri.
Pergerakan di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) masih kekal sama. Tiada kedai makan dan minum dibuka dan suaru juga ditutup, solat jemaah tidak dibenarkan. Hanya tandas dibuka, dan perlu menjaga penjarakan sosial dan kebersihan diri. Stesen minyak juga dibuka, dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Perlu ambil maklum, hanya kereta dibenarkan untuk bergerak merentas negeri, motorsikal dan pengangkutan awam tidak dibenarkan. Semua ahli keluarga boleh bergerak bersama, maksimum 4 orang dalam satu kereta. Tetapi semua ahli keluarga perlu mendaftar di aplikasi Gerak Malaysia, untuk yang berusia 16 tahun ke atas.
Kebenaran pergerakan merentas negeri ini sebenarnya jelas dan membantu semua pihak yang terlibat. Walaupun perlu memohon, ia akan memudahkan pihak berkuasa mengawal kelancaran trafik dan menjaga keselamatan di jalan raya. Kebenaran ini juga boleh dibuat dua hala, seperti mengambil anak di kampung pulang ke rumah, atau menghantar emak pulang ke kampung dan sendiri pulang ke bandar semula. Jiak semua memberi kerjasama, pasti kita dapat menjadikan pergerakan ini lancar dan selamat serta memudahkan semua pihak.