Beberapa minggu sudah, rating Tiktok di gedung aplkasi Play Store menjunam serendah 1.6 berdasarkan 27 juta utusan reviu. Namun, Google telah dikesan memadam sekurang-kurangnya 8 juta reviu untuk pulihkan ratingnya kepada 4.5.
Fenomena yang dikenali sebagai Review Bombing ini menyebabkan Google masuk campur atas alasan membenteras spam. Walau bagaimanapun, ada yang mempersoalkan tindakan ini kerana reviu diutuskan oleh akaun tulen dan jika rating 1.6 tak sesuai untuk Tiktok, sudah tentu ia akan diperbetul secara organik, cumanya perlukan masa.
Tiktok menerima kecaman teruk daripada pengguna India apabila mereka enggan menurunkan kandungan video yang dirasakan menghina sesetangah pengguna India. Seorang influencer di Tiktok telah mengutuskan video parodi berkaitan serangan asid.
Ahli politik India juga mempersoalkan seketat manakah penguatkuasaan polisi kandungan yang diutuskan di platform China itu walaupun jurucakap TIkto telah memperjelas yang mereka tidak benarkan kandungan yang mengancam keselamatan.
Ini bukanlah kali pertama Tiktok berdepan masalah. Dalam tahun 2019, mereka telah diharamkan di India buat beberapa ketika kerana dikesan menjadi sarang muat naik kandungan lucah dan menyalahi undang-undang.
Sumber: TechCrunch