Bermula 1 Jun 2020, kerajaan akan memasukkan penggunaan kod respons pantas (QR) ke dalam aplikasi MySejahtera, sebagai alternatif lebih selamat untuk pendaftaran masuk ke premis perniagaan dan makanan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, naik taraf aplikasi berkenaan juga dilakukan bagi mengantikan sistem bertulis dan penggunaan pen yang telah mengundang kebimbangan orang ramai terhadap isu kebersihan.
Jelasnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap aplikasi MySejahtera dari semasa ke semasa.
Orang ramai dinasihatkan supaya membawa pen sendiri, sekiranya premis yang dikunjungi masih menggunakan sistem bertulis. Ia sebagai langkah keselamatan daripada jangkitan COVID-19.
Pemilik premis juga boleh melaksanakan inisiatif, dengan menempatkan kakitangan dan menugaskan mereka untuk menulis maklumat pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke premis.
Sementara itu, orang ramai digalakkan supaya memuat turun aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan maklumat berhubung perkembangan dan maklumat COVID-19 di dalam negara.
Dalam perkembangan lain, Noor Hisham turut memaklumkan bahawa aplikasi berkenaan turut dilengkapi dengan fungsi pengesan Hotspot. Ia merupakan peta yang memaklumkan perkembangan kes di kawasan dalam radius 1km dari lokasi carian.
Penggunaan fungsi berkenaan boleh dijadikan sebagai salah satu langkah berjaga-jaga dalam merancang perjalanan atau ketika berada di rumah.
Setakat ini, sebanyak 752,711 individu telah memuat turun aplikasi MySejahtera. Bagi mereka yang belum mendapatkan aplikasi berkenaan, boleh berbuat demikian dengan memuat turun secara percuma di Google Play Store dan App Store.
Pengesanan kod QR dan daftar dalam talian ini menggunakan konsep sama seperti yang telah dilaksanakan menerusi aplikasi SeLangkah serta KLSTEP. Bila aplikasi MySejahtera sediakan fungsi sama dan majoriti peniaga menggunakannya, kita tidak perlu muat turun banyak aplikasi pada satu masa.
Sumber: Bernama, New Straits Times