Kerajaan kini dalam perbincangan untuk membuka semula sempadan negara kepada enam negara berstatus zon hijau. Negara tersebut adalah Singapura, Australia, Brunei, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pembukaan sempadan itu akan dilakukan secara bersyarat, sekiranya ia dipersetujui oleh negara-negara terlibat.
Selain memperoleh persetujuan bersama, antara perkara yang sedang dibincangkan di peringkat awal untuk pembukaan sempadan adalah, prosedur operasi standard (SOP) dari kedua-dua pihak.
Salah satu garis panduan yang diketengahkan adalah, pengunjung dari luar perlu mematuhi arahan termasuk kuarantin dan saringan kesihatan.
Sementara itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk membenarkan kemasukan rakyat Singapura dan Brunei ke negara ini, tanpa perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berdasaran keputusan yang dilakukan dalam mesyuarat khas itu, rakyat dari kedua-dua negara juga tidak perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dan membuat saringan COVID-19.
Walau bagaimanapun, kelonggaran merentas sempadan itu juga diberikan berdasarkan syarat timbal balas dari Singapura dan Brunei. Perkara tersebut masih dalam perbincangan lanjut.
Selain itu, lampu hijau turut diberikan kepada pelawat asing yang perlu ke negara ini bagi tujuan pelancongan kesihatan, tanpa perlu mengemukakan permohonan kepada JIM.
Jelas Ismail Sabri lagi, pelancong dengan tujuan kesihatan perlu berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mereka juga perlu mendaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) selain, menjalani saringan COVID-19 di negara asal atau setibanya di Malaysia.
Antara lain, mereka boleh membawa seorang penjaga atau pengiring bersama. Pengiring itu perlu memuat turun aplikasi MySejahtera. Ia sebagai langkah untuk memantau pergerakan dan mengesan kontak jika berlaku jangkitan.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian, TV3