Bermula 31 Julai 2020, rakyat Malaysia boleh mula menebus RM50 kredit ePenjana yang dijanjikan kerajaan sebagai bantuan menggerakkan semula ekonomi negara. Selain itu, ia juga untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pembayaran tanpa tunai.
Tetapi anda perlu tahu syarat-syarat dan langkah yang betul sebelum dapat menebus kredit RM50 ini ke dalam dompet elektronik (eWallet) pilihan anda.
Tidak semua rakyat Malaysia layak menerima kredit ePenjana ini. Ia hanya diberikan kepada:
- Warganegara Malaysia
- Berusia 18 tahun dan ke atas
- Berpendapatan kurang dari RM100,000 setahun berdasarkan rekod LHDN
- Telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi MySejahtera
Jika anda layak menurut syarat pertama, kedua dan ketiga, maka anda harus pula mendaftar sebagai pengguna aplikasi MySejahtera, jika masih belum berbuat demikian. Tetapi jika anda sudah mendaftar, pastikan nama anda di dalam aplikasi MySejahtera adalah sama seperti di kad pengenalan. Ini kerana sistem MySejahtera akan membuat pengesahan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Untuk memastikan semua proses pendaftaran berjalan dengan lancar, anda harus memasukkan nama penuh seperti yang terdapat di dalam kad pengenalan, termasuk Bin atau Binti, A/L atau A/P, S/O atau D/O dan sebarang simbol termasuk ‘-‘ atau ‘@’. Semua maklumat ini harus sama di dalam pendaftaran aplikasi MySejahtera dan eWallet. Data peribadi ini tidak akan dikongsi dengan penyedia perkhidmatan eWallet.
Cara Mendaftar aplikasi MySejahtera
- Muat turun aplikasi MySejahtera dari Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple AppStore, Google Playstore atau Huawei AppGallery.
- Pilih pendaftaran sama ada melalui emel atau nombor telefon. Ia pertama kali digunakan untuk menghantar nombor TAC. Kemudian masukkan nama penuh, nombor telefon dan nombor kad pengenalan. Pastikan nama yang dimasukkan di dalam aplikasi ini sama seperti yang tertera di kad pengenalan.
- Jawab beberapa soalan untuk menentukan tahap risiko jangkitan COVID-19 anda dan tekan ‘Submit’.
- Anda sudah boleh menggunakan aplikasi MySejahetera dan langkah seterusnya ialah mendaftar di aplikasi eWallet pilihan. Jika ada pembetulan maklumat peribadi yang perlu diubah, ia boleh dilakukan di tab ‘Profile’.
eWallet untuk menebus RM50 kredit e-Penjana
Kerajaan telah melantik tiga eWallet sebagai saluran untuk menebus RM50 kredit ePenjana iaitu Boost, Grab dan Touch n Go eWallet. Ini kerana tiga penyedia perkhidmatan ini memiliki pengguna aktif yang besar serta rangkaian kedai yang menyokong pembayaran tanpa sentuh meluas di seluruh negara.
Anda hanya boleh menebus satu sahaja eWallet untuk menerima RM50 kredit ePenjana ini dan pengesahan identiti pengguna (electronic Know Your Customer atau eKYC) perlu dilakukan di dalam aplikasi eWallet tersebut. Proses ini memerlukan pengguna memasukkan nama penuh yang sama seperti di kad pengenalan, mengambil gambar kad pengenalan dan berswafoto untuk mengesahkan muka pengguna.
Selepas proses eKYC diluluskan, anda boleh mula menebus kredit RM50 ePenjana. Ia boleh ditebus dengan menekan banner RM50 ePenjana di dalam aplikasi eWallet dan menuruti langkah yang diberitahu. Hanya satu tebusan yang dibenarkan. Jika anda membuat lebih dari satu tebusan, tebusan yang lain tidak akan diluluskan.
Di mana kredit RM50 ePenjana boleh digunakan?
Selepas penebusan berjaya, anda boleh melihat kredit RM50 ePenjana di dalam eWallet anda. Tetapi ingat, ia perlu digunakan sebelum 30 September 2020 atau kredit ini akan ditarik semula.
Kredit RM50 ePenjana ini boleh digunakan untuk semua bentuk pembayaran sama ada di dalam aplikasi eWallet, atau di dalam dan di luar talian, di mana-mana kedai yang menyokong pembayaran eWallet tersebut.
Pada akhir tahun lepas, kami ada membuat tinjauan tentang bagaimana penggunaan GrabPay di kedai-kedai. Anda boleh membaca laporan penuhnya di sini.
Walaubagaimanapun, kredit ini tidak boleh digunakan untuk dihantar kepada kenalan yang lain. Ia hanya boleh digunakan untuk dibelanjakan.
Ada masalah membuat penebusan
Jika anda berhadapan masalah untuk menebus RM50 kredit ePenjana atau anda sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi penyedia perkhidmatan eWallet anda menerusi saluran berikut:
1. Boost
- Telefon: +603-2260 9494
- E-mel: [email protected]
- Laman sesawang: https://support.myboost.com.my/hc/enus/requests/new
2. GrabPay
- Telefon: +603-2788 1300
- E-mel: [email protected]
- Laman Sesawang: https://help.grab.com/passenger/enmy/360045705731-ePenjana-(MY)
3. Touch ‘n Go e-Wallet
- Telefon: +603-5022 3888
- E-mel: [email protected]
- Laman sesawang: https://tngd.my/careline-webform