Asus hari ini mengadakan acara pelancaran telefon pintar siri Zenfone 7, khas buat pasaran Taiwan. Seperti dijangka sebelum ini, terdapat dua model yang dilancarkan iaitu ZenFone 7 dan ZenFone 7 Pro. Kedua-dua model ini berkongsi banyak persamaan sehingga tidak kelihatan perbezaan di luar, kecuali di pemproses, storan dan kamera.
Malah, tidak salah untuk mengatakan siri Zenfone 7 adalah telefon pintar gaming. Ini kerana ia menggunakan perkakas dengan prestasi tertinggi. Kedua-duanya dilengkapi RAM LPDDR5 sehingga 8GB dan storan UFS3.1 sehingga 256GB. Bagi Zenfone 7, ia diperkasa pemproses Snapdragon 865. Bagi Zenfone 7 Pro pula, ia menggunakan pemproses Snapdragon 865 Plus, seperti di ROG Phone 3.
Paparan di Zenfone 7 dan 7 Pro adalah sama. Ia berukuran 6.67-inci dari jenis AMOLED, dengan kadar penyegaran 90Hz dan resolusi HD penuh. Ini menjadikannya sangat mesra bermain game berkadar tinggi. Tetapi ia tiada pengimbas capjari di dalam skrin, sebaliknya pengimbas ini diletakkan di sisi, bergabung dengan butang kuasa.
Walaupun bateri Zenfone 7 tidak sebesar ROG Phone 3, ia masih dikira lebih besar dari biasa dengan kapasiti 5,000mAh. Telefon ini menyokong pengecasan pantas 30W melalui USB-C, serasi dengan pengecasan USB-PD dan QC 4.0.
Tarikan utama Zenfone 7 adalah pada kameranya. Ia menggunakan modul kamera boleh lipat, menjadikan kamera belakang boleh berputar menjadi kamera hadapan. Kali ini, terdapat tiga kamera berprestasi tinggi di pasang di Zenfone 7 iaitu kamera utama 64MP F1.8 menggunakan sensor Sony IMX686, kamera ultra lebar 12MP F2.2 menggunakan sensor Sony IMX363 dan kamera telefoto 8MP berkeupayaan zum optikal 3x.
Kamera ini berupaya merakam video sehingga 8K, beserta penstabil imej elektronik (EIS) serta teknologi HyperSteady untuk rakaman yang sangat stabil. Zenfone 7 Pro memiliki kamera yang sama tetapi ditambah penstabil imej optikal (OIS) di kamera utama dan kamera telefoto.
Modul kamera boleh putar ini dikatakan lebih tahan lasak, pantas dan lancar dari sebelumnya. Ia kini menggunakan motor lebih kecil dan boleh ditetapkan pada sudut tertentu. Selain itu, Asus menyatakan modul berputar ini boleh bertahan sehingga 200,000x, bersamaan dengan 100x putaran sehari selama 5 tahun.
Speaker stereo dinamik digunakan di Zenfone 7 dan ia tidak lagi memiliki jek audio 3.5mm. Satu lagi kelebihan telefon ini adalah, ia masih menerima kad mikroSD sehingga 2TB menerusi tiga slot kad, yang turut memuatkan dua kad sim serentak.
Buat masa ini, Zenfone 7 dan 7 Pro hanya dijual di Taiwan. Penjualannya di pasaran lain akan diumumkan kemudian. Di Malaysia, kami rasakan ia mungkin tidak akan dibawa masuk seperti Zenfone 6, memandangkan harganya yang terlalu tinggi.
Harga jualan Zenfone 7 dan 7 Pro di Taiwan adalah seperti berikut:
- Zenfone 7 (RAM 6GB + Storan 128GB) – TWD 21,990 (~RM3,121)
- Zenfone 7 (RAM 8GB + Storan 128GB) – TWD 23,990 (~RM3,404)
- Zenfone 7 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – TWD 27,990 (~RM3,972)
Adakah benar tekaan kami tentang penjualannya di Malaysia? Kita nantikan pengumuman dari Asus Malaysia nanti. Mungkin boleh diketahui semasa ROG Phone 3 dilancarkan di Malaysia kelak, sekitar bulan September 2020.