Kitaran pelancaran Realme agak pantas. Sebelum Realme 7 ini, mereka sudahpun ada Realme 6 yang dilancarkan dalam bulan Mei 2020. Sungguhpun begitu, peminat Realme boleh jangkakan naik taraf yang baik pada sekuel Realme 6 ini.
Ini adalah reviu Realme 7 Pro.
Apa ada dalam kotak?
Realme masih gunakan kotak ikonik berwarna kuning. Perkara ini bagus sebab jenama lain banyak gunakan warna hitam dan putih yang saya rasakan agak hambar.
Untuk hasilkan kotak berwarna tidaklah memakan kos yang besar, lebih-lebih lagi cuma 1 warna macam kotak Realme. Kalau kotak kuning ini saya kelih berada atas rak, saya tentu takkan silap yang itu ialah sebuah Realme.
Perkara-perkara asas seperti blok pengecas, kabel USB-C, SIM ejector, casing boleh anda temui. Walaupun telefon ini ada jek audio 3.5mm, Realme tidak menyertakan earfon bersama. Saya tak kisahpun sebab biasanya saya tak gunakan earfon yang didatangkan dengan telefon sebab saya ada versi yang lebih baik.
Kalau tak rosak kenapa nak ubah?
Daripada Realme 5 hinggalah ke Realme 7 saya dapati rekaannya seperti daripada acuan yang sama. Perbezaan besar yang boleh saya cerap adalah pada kemasan belakang dan kamera selfie.
Sekali lagi, saya tak kisah sebab biasanya telefon dalam kategori ini memang dihasilkan untuk berfungsi dan bukannya untuk mempamerkan inovasi-inovasi terbaharu. Tapi ia tidaklah digunakan Realme sebagai alasan untuk tidak maju.
Kemasan belakang Realme 7 Pro adalah antara yang cantik pernah saya lihat. Bila kebanyakkan pengeluar hasilkan kemasan berkilat yang senang comot, kemasan matte Realme 7 Pro ini adalah praktikal.
Saya juga gemarkan warna pastel lembut yang diguna pakainnya, tampak seperti sebuah telefon premium.
Yang kami terima ini adalah warna Mirror Silver dan menurut laman rasmi Realme India, ia juga ditawarkan dalam warna Mirror Blue. Warna yang sama turut ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
1 Langkah Kebelakang
Kalau anda tonton video livestream pelancaran Realme 7 Pro di India tempoh hari, anda tentu tersentak apabila Realme mengumumkan yang panel 90Hz pada Realme 6 Pro tidak diwariskan kepada Realme 7 Pro.
Tapi, Realme mengenakan panel 90Hz pada Realme 7i yang dilancarkan di sana dalam sesi lain.
Alasan Realme untuk tidak sertakan panel 90Hz pada 7 Pro adalah survei yang mereka jalankan menunjukkan pengguna lebih gemarkan panel AMOLED berbanding LCD 90Hz.
Memang ada perbezaan ketara antara skrin AMOLED dengan LCD. Warna yang dihasilkan AMOLED lebih pekat dan berkontras tinggi. Itupun kalau anda letak sebelah menyebalah. Kalau tak, anda takkan rasa pun skrin LCD Realme 6 Pro cacat.
Tambahan pula AMOLED lebih jimat tenaga berbanding LCD. Sudahlah bateri Realme 7 Pro lebih besar, anda boleh jangkakan penggunaan tenaga yang lebih baik pada telefon ini.
Tapi, kalau turun taraf 90Hz kepada 60Hz, saya rasakan yang perbezaan yang dirasai amat ketara. Navigasi dalam ColorOS lebih lancar pada Realme 6 Pro dan pengalaman media social pun saya rasakan lebih baik.
Spesifikasi Realme 7 Pro
2 Langkah Kedepan
Gamers yang hardcore tentu rasakan ini adalah turun taraf yang signifikan.
Mujurlah, Realme 7 Pro ada pelan backup untuk menampan kemarahan itu. Selain skrin AMOLED, perkara kedua paling ketara adalah kehadiran speaker stereo. Sebelum ini, telefon Realme yang ada stereo ialah model X2 Pro yang lebih premium. Audio yang dihasilkan sepasang speaker ini agak seimbang dan ada dynamic range yang bagus.
Dynamic range yang saya maksudkan ialah ia ada cakupan frekuensi bass, mid, dan high yang baik untuk sebuah telefon.
Bateri Realme 7 Pro 200mAh lebih besar berbanding Realme 6 Pro ataupun 4.6%. Bukan sahaja diperbesar, Realme menyertakan teknologi pengecasan pantas SuperDart 65W, mengisi tangki bateri telefon ini bukanlah satu masalah.
Berikut adalah graf mengecas Realme 7 Pro.
Daripada 2%, ia cuma mengambil masa 42 minit saja untuk diisi penuh. Ia adalah 2.33% untuk setiap minit. Lebih mengagumkan suhu telefon cuma berlegar sekitar 40 darjah Celsius sahaja.
Realme UI
Atas papan utama, Realme 7 Pro diperkasa Snapdragon 720G, cip yang sama daripada Realme 6 Pro. Unit yang kami terima ialah versi RAM 8GB dan storan 128GB itulah satu-satunya varian yang dijual Realme di Malaysia.
Kalau storan 128GB tak cukup, telefon ini masih kekalkan trislot kad SIM dan mikro-SD.
Sistem operasi Realme 7 Pro adalah yang dijenamakan semula daripada ColorOS menjadi Realme UI. Sejurus keluar kotak, ia menjalankan Realme UI V1.0 berasaskan Android 10 Oreo.
Ada macam-macam fungsi menarik pada Realme UI. Paling menarik adalah:
- AppCloner untuk bolehkan anda guna dua WhatsApp serentak.
- HeyTap Cloud untuk sebagai servis backup macam Google Cloud.
- Ada splitscreen dan picture-in-picture.
- Game Space untuk maksimumkan prestasi telefon semasa bermain game.
Cuma ada satu kekurangan Realme UI ini yang saya ingin utarakan. Iklan semakin menular di dalamnya. Contohnya, dalam APP Tray ada bloatware dan semasa memasang APP, anda juga akan dihidangkan dengan iklan.
Inilah sebab kenapa saya mula jauhkan diri daripada MIUI, nampaknya Realme UI semakin bergerak kearah itu.
Kamera
Lagi mengguna pakai falsafah “kalau tak rosak, kenapa ubah”, anda akan dapati konfigurasi kamera telefon Realme agak mirip antara satu sama lain. Contohnya, kamera utama 64MP Realme 7 Pro ini boleh anda temui pada Realme 6 Pro, Realme X2 Pro, dan Realme X3 Superzoom.
Mereka juga biasanya akan hadir dengan kuadkamera dengan salah satu kameranya mesi 2MP bokeh. Kemudian, aka nada dua kamera sama ada telefoto, ultralebar, ataupun makro, bergantung pada model.
Sungguhpun menggunakan perkakasan yang sama, saya dapati yang bahagian software Realme banyak ditambah baik terutamanya pada nightmode. Gambar yang terhasil amat baik dan lebih baik daripada nightmode MIUI.
Untuk astrofotografi, saya boleh letakkan Realme sebagai pengganti Huawei selagi Huawei masih tidak dapat sediakan Google Mobile Services. Realme ada fungsi Starry Mode yang hamper sama fungsinya macam Light Trail pada Huawei.
Berikut adalah sampel gambar daripada lensa Realme 7 Pro.
Selfie + Potret Mode Selfie – Potret Mode 0.6x 1x 5x 10x Nightmode Off Nightmode On
Realme buang satu tapi tambah banyak
Walaupun kehilangan panel 90Hz yang digahkan gamers pada Realme 6 Pro tempoh hari, Realme 7 Pro bawakan penambahbaikkan lebih banyak daripada yang saya jangka.
Anda dapat:
- Paparan AMOLED yang lebih cantik warnanya
- Pengimbas cap jari atas skrin berbanding di sisi telefon
- Speaker stereo berbunyi mantap
- Bateri gergasi dengan pengecasan pantas 65W
Satu perkara yang menggusarkan adalah harga. Realme 5 Pro dulu, specs tertingginya dijual pada harga RM1,099 kemudian Realme 6 Pro pada RM1,399. Dengan segala naik taraf ini, Realme 7 Pro boleh didapati pada harga RM1,499.
Ia membuka lebih ruang kepada Realme untuk menempatkan Realme 7 ataupun Realme 7i, kalau ia masuki pasaran Malaysia kelak.
Siapakah yang akan beli telefon ini?
Saya nampak dua kelompok akan tertarik dengan Realme 7 Pro. Kelompok yang pertama ialah yang muak dengan MIUI untuk sebuah telefon pada harga patut. Itu sajalah sebab kenapa mereka akan berpaling daripada Poco X3 NFC.
Golongan ini memang tak kisahkan status jenama, asalkan mereka beroleh pengalaman mengguna telefon yang terbaik.
Kelompok kedua ialah yang sedang usyar siri Galaxy A dan dapati Realme lebih berbaloi specs-to-specs dengan harga yang ditawarkannya.
Apa pendapat anda? Kongsikannya dalam ruangan komen.