Pejabat ADUN Bukit Gasing telah melancarkan kempen #Laptop4Siswa, untuk membantu pelajar universiti mendapatkan laptop bagi kegunaan kelas dalam talian. Akibat wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semester pertama untuk tahun akademik 2020/2021 telah ditetapkan bermula pada bulan Oktober 2020. Semua program pembelajaran akan diadakan secara dalam talian, sehingga 31 Disember 2020.
Menurut Rajiv Rishyakaran, ADUN Bukit Gasing, beliau bekerjasama dengan StandUp Malaysia, sebuah organisasi belia tempatan untuk mengumpul dan mengedarkan laptop tersebut kepada pelajar yang memerlukan. Fokus utama mereka ialah pelajar dari keluarga B40 kerana mereka tidak mampu untuk membeli laptop, apatah lagi jika ada lebih dari seorang di dalam keluarga perlu mengikuti kelas dalam talian.
Sehubungan itu, Rajiv menyeru semua pihak untuk menderma laptop mereka, tidak kira baru atau terpakai, kepada pelajar yang memerlukan. Beliau juga menggalakkan sumbangan berbentuk wang tunai, yang boleh digunakan untuk membaik pulih sebahagian laptop yang diterima, jika perlu. Sumbangan boleh diberikan secara terus ke pejabat ADUN Bukit Gasing dan akan diedarkan kepada pelajar yang memerlukan di seluruh Malaysia.
StandUp Malaysia ialah satu organisasi belia yang diterajui oleh Aliya Ashiqin dan Rheanne Wong untuk memperkasa wanita dan belia. Ia bermula dari perbincangan hak dan kesamarataan wanita di kalangan rakan-rakan, seterusnya berkembang ke pergerakan memperkasa wanita dan belia. StandUp Malaysia telah memperjuangkan gerakan seperti menganjurkan ruang yang selamat untuk wanita dan gadis muda, dalam talian dan luar talian.
Aliya Ashiqin, pengasas bersama StandUp Malaysia berkongsi cerita mengenai pelajar yang bertemu mereka dan bertanya jika ada laptop yang tidak digunakan. Ini kerana mereka tidak memiliki laptop dan perlu mengikuti kelas dalam talian. Jika di kampus dahulu mereka boleh berkongsi laptop untuk membuat kerja, tetapi berbeza sekarang kerana mereka perlu mengikuti kelas dalam talian di rumah. Dari sinilah timbulnya idea untuk menggerakkan #Laptop4Siswa.
Aliya menambah, mereka perlu menyebarkan lagi kempen ini supaya ia mencapai kepada lebih ramai penyumbang dan membantu mereka yang sangat memerlukan. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan pejabat ADUN Bukit Gasing dan mereka segera menghulur bantuan apabila mendengar tentang kempen ini.
Kempen #Laptop4Siswa akan membuka pendaftaran dari 6 hingga 20 Oktober 2020 dan ia terbuka kepada semua pelajar Malaysia yang memiliki kad identiti pelajar yang sah, atau surat tawaran belajar universiti. Pelajar juga perlu menyatakan pendapatan isi keluarga dan menyertakan slip gaji ibubapa. Permohonan boleh dibuat di sini: https://tinyurl.com/SUMLaptopApp
Untuk penyumbang pula, sebarang pertanyaan boleh diajukan dengan menghubungi pejabat ADUN Bukit Gasing di talian 03-79547490 atau emel ke [email protected], atau hubungi StandUp Malaysia di talian 014-6691320 atau emel ke [email protected]. Sumbangan pula boleh dibuat di sini: https://tinyurl.com/SUMLaptopDonor