Nama Poco memang popular tahun ini selepas mereka melancarkan Poco F2 Pro, peranti berkuasa tinggi yang lebih murah dari pesaing, serta Poco X3 NFC, peranti bawah RM1,000 paling berbaloi dibeli. Tidak lama lagi mereka mahu melancarkan satu lagi model untuk kelas permulaan, Poco M3.
Sebelum ini, Poco pernah memperkenal Poco M2 dan M2 Pro, tetapi ia terhad untuk pasaran India sahaja. Berbeza dengan Poco M3 di mana ia dilihat akan dilancarkan di pentas antarabangsa, sekaligus Malaysia turut berpeluang menjadi pasaran jualannya.
Pelancaran Poco M3 akan diadakan pada 24 November 2020, pukul 8 malam waktu Malaysia. Ia diadakan secara langsung dalam talian dan akan boleh ditonton di Facebook, Twitter, YouTube dan laman web Poco.
Tiada sebarang maklumat dikongsi oleh Poco berkenaan M3, melainkan hanya tagline “More than you expect”, atau lebih dari jangkaan anda. Poco M2 sebelum ini adalah penjenamaan semula telefon Redmi 9 dengan kuasa Mediatek Helio G80. Manakala M2 Pro pula jelmaan dari Redmi Note 9S dengan sokongan pengecasan lebih pantas.
Menurut 91mobiles, dijangkakan Poco M3 adalah peranti baru Xiaomi dengan nombor model M2010J19CG, yang dikesan baru-baru ini di Geekbench. Ia dikhabarkan memiliki skrin HD Penuh 6.53-inci, cip Snapdragon 662, bateri besar 6,000mAh dan pengecasan pantas 22.5W. Peranti yang sama mungkin akan dijenamakan sebagai Redmi 10 di sesetengah pasaran lain.
Pasti lebih banyak petunjuk akan dikongsi oleh Poco menjelang tarikh pelancaran. Nantikan berita lebih lanjut dari kami.
[Sumber: Poco]