Komputer riba terbaru dari Microsoft, Surface Laptop Go kini telah mula dijual di Malaysia. Ia boleh dibeli dari wakil penjual sah komersial dan peruncit sah Microsoft, dengan harga bermula daripada RM2,758.
Walaupun dilancarkan di pentas antarabangsa dengan tiga warna, hanya satu warna yang dijual di Malaysia iaitu Platinum. Harga jualannya di Malaysia adalah seperti berikut:
- RAM 4GB + eMMC 64GB – RM 2,758
- RAM 8GB + SSD 128GB – RM 3,388
- RAM 8GB + SSD 256GB – RM 4,288
Khas untuk perniagaan, Microsoft turut menyediakan Surface Laptop dengan ciri keselamatan gred perusahaan menggunakan Windows 10 Pro, Autopilot, Surface Enterprise Management Mode (SEMM) dan Microsoft Intune. Pelanggan Surface untuk Perniagaan juga boleh menikmati khidmat Advanced Exchange percuma, iaitu perkhidmatan jaminan yang mempercepatkan penggantian peranti, tanpa sebarang kos tambahan. Harga jualannya tinggi sedikit berbanding biasa iaitu:
- RAM 8GB + SSD 128GB – RM 3,780
- RAM 8GB + SSD 256GB – RM 4,561
- RAM 16GB + SSD 128GB – RM 5,416
Surface Laptop Go boleh didapati secara umum di Malaysia mulai 24 November 2020 menerusi wakil penjual sah komersial seperti SoftwareONE dan Prestariang Systems Sdn Bhd, dan juga peruncit sah seperti All IT, Gloo by SNS, Harvey Norman, Lazada, PC Image, Senheng, Shopee dan TMT by Thundermatch.
Kelebihan laptop ini adalah ia sangat ringan, seberat 1.1kg sahaja menggunakan badan yang diperbuat dari aluminium dan polikarbonat. Selain itu, ia juga memiliki hayat bateri yang sangat panjang, sehingga 13 jam dan menyokong pengecasan pantas 39W melalui Surface Connect.
Laptop ini dikuasakan oleh cip Intel Core i5-1035G1 generasi ke-10, bersama RAM LPDDR4x dan storan dari jenis eMMC atau SSD. Walaupun pemprosesnya berkuasa tinggi, penggunaan storan eMMC boleh merencatkan kelancaran laptop. Untuk pengalaman penggunaan yang lebih baik, storan SSD lebih digalakkan tetapi memiliki tanda harga jauh lebih mahal.
Skrin Surface Laptop Go dari jenis PixelSense 12.4-inci, dalam nisbah 3:2 dengan fungsi sentuhan 10-titik. Resolusi skrin ini tidak mencapai HD penuh, hanya 1532×1024 piksel dengan 148 PPI sahaja.
Sambungan berwayar tidak banyak terdapat padanya, hanya satu port USB-A, satu port USB-C dan satu jek audio 3.5mm. Tetapi tiada HDMI atau Thunderbolt 3 untuk sambungan paparan luaran. Sambungan wayarles lebih baik kerana menyokong Bluetooth 5.0 dan WiFi 6 802.11ax.
Pengimbas capjari terdapat di butang kuasa di mana ia menyokong daftar masuk pantas Windows Hello, untuk model SSD sahaja. Walaupun ia memiliki kamera web 720p, kamera ini tidak menyokong Windows Hello.
[Sumber: Microsoft]