Sekatan Amerika Syarikat terhadap Huawei serta kelewatan Apple memperkenalkan peranti 5G, mendorong Samsung untuk menerajui pasaran peranti 5G bagi pertengahan pertama tahun 2020. Pelancaran siri Galaxy S20 pada awal tahun ini, telah melonjakkan nama Samsung sebagai pengedar peranti 5G no 1 di dunia.
Menurut laporan yang dikeluarkan Strategy Analytics pada bulan Oktober 2020, Galaxy S20+ 5G adalah telefon dengan jualan terbaik berdasarkan keuntungan, untuk pertengahan pertama tahun 2020. Galaxy S20+ 5G memegang 9% pasaran, diikuti adiknya Galaxy S20 5G dengan 8%, seterusnya Galaxy S20 Ultra 5G dengan 5%. Ini bermakna, keluarga Galaxy S20 memegang lebih 20% pasaran peranti 5G untuk awal tahun 2020.
Laporan itu diteruskan dengan menyatakan dua peranti Huawei, P40 Pro 5G dan Mate 30 5G menduduki tangga ke-4 dan ke-5, masing-masing dengan 5% pegangan pasaran. Strategy Analytics menyatakan, pasaran antarabangsa 5G telah mencatat rekod baru, dengan pendapatan berjumlah USD34 bilion pada pertengahan pertama 2020, walaupun diwaktu wabak COVID-19 melanda.
Samsung membuktikan diri mereka sebagai peneraju 5G sebagai model paling popular di Eropah Barat, Amerika Utara dan Korea Selatan. Huawei pula sangat terkenal di negaranya, China. Tetapi Strategy Analytics menjangkakan Apple akan mengambil alih takhta peranti 5G menjelang hujung tahun ini menerusi pelancaran siri iPhone 12, terutama di musim perayaan Krismas.
Dalam kenyataan berasingan, Samsung memaklumkan bahawa mereka menerajui pasaran 5G dengan melabur kepada inovasi dan membina rangkaian bersama rakan dagang sejak 10 tahun dulu. Ia bermula dengan kajian terhadap teknologi mmWave pada 2009, di mana ia berjaya mencapai kelajuan 1Gbps pada 2013, diikuti rekod baru 7.5Gbps pada 2014. Sejak 2018, Samsung telah menjadi pemain utama dalam pelancaran rangkaian 5G di seluruh dunia, antaranya di Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Di sebelah pengguna, Samsung menyediakan barisan peranti 5G, bermula dengan Galaxy S10 5G dan Tab S6 5G pada tahun 2019 dan meneruskannya pada peranti flagship selepas itu. Pada tahun 2020, Samsung meluaskan penawaran peranti 5G menerusi peranti kelas pertengahan, Galaxy A51 5G dan peranti serba baru, Galaxy Z Fold 2.
Untuk perancangan seterusnya, Samsung mahu memperkenal peranti 5G untuk lebih banyak pengguna, termasuk peranti kelas permulaan. Di samping itu, Samsung mahu meluaskan rangkaian 5G di seluruh dunia untuk memastikan pengalaman 5G yang mengujakan pengguna.
[Sumber: Samsung, BusinessWire]