Apple hari ini melepaskan kemaskini terbaru untuk iPhone, iOS 14.3 dengan beberapa ciri-ciri baru terdapat padanya. Ciri paling dinantikan ramai dalam kemaskini ini adalah sokongan ProRaw untuk iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max.
Sokongan ProRaw di kamera iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max telah diumumkan semasa pelancaran siri iPhone 12 pada bulan Oktober lepas. Tetapi pada waktu itu, Apple menyatakan ia tidak terdapat terus, sebaliknya akan ditambah dalam kemaskini iOS yang akan datang.
Aktifkan ProRaw di dalam Setting Camera
Kini setelah memuat turun dan memasang kemaskini iOS 14.3, iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max boleh menggunakan fungsi ProRaw di dalam aplikasi Camera dengan mengaktifkannya menerusi Setting > Format, dan menghidupkan butang Apple ProRaw.
Selepas itu, pengguna boleh memilih ProRaw di ruangan atas Camera, setiap kali mahu mengambil gambar. Bagaimanapun, Apple turut mengingatkan pengguna bahawa format ProRaw akan memakan ruang yang besar, sekitar 25MB untuk setiap fail. Ini saiz yang berkali ganda lebih besar dari biasa.
Gambar dalam format ProRaw kelihatan seperti gambar biasa di dalam Album, tetapi ia tidak boleh dikongsi terus ke media sosial seperti Instagram kerana akan keluar notis “Error“. Jadi, ia perlu disimpan ke dalam format JPEG atau HEIC terlebih dahulu sebelum boleh dikongsi ke media sosial.
Apple ProRaw juga menggunakan format DNG oleh Adobe yang diterima pakai oleh pelbagai aplikasi. Tetapi jika aplikasi tersebut menggunakan ‘Apple Raw Converter‘, ia memiliki lebih kawalan seperti tona dan jarak di peta.
Aplikasi lain yang memiliki ‘converter‘ sendiri seperti Adobe Photoshop, Lightroom, dan Capture One, boleh mengedit fail DNG tetapi dengan kurang kawalan berbanding ‘Apple Raw Converter‘. Tetapi Adobe dan ‘converter‘ lain mungkin dikemaskini di masa hadapan dan boleh memiliki akses yang sama. Paling mudah, guna sahaja Apple Photos untuk mengedit gambar.
Berkongsi gambar ProRaw
Terdapat banyak cara untuk berkongsi gambar di dalam format ProRaw, bergantung kepada bagaimana hasilnya anda mahukan:
- Jika mahu menghantar fail Apple ProRaw ke komputer, pastikan gambar tidak diedit, kemudian AirDrop jika menggunakan Mac. Atau menggunakan sambungan USB ke komputer, dan gunakan aplikasi Windows Photos atau aplikasi yang bersesuaian.
- Jika mahu berkongsi gambar ProRaw yang diedit, edit gambar di dalam aplikasi Photos dan berkongsi melalui AirDrop, email atau Message. Gambar akan dihantar dalam format JPG.
- Jika mahu berkongsi fail ProRaw DNG, buka aplikasi Photos dan berkongsi melalui butang ‘Share’ dan pilih Mail.
- Jika fail ProRaw telah diedit tetapi mahu kedua-dua fail DNG dan JPG dikongsi, gunakan aplikasi Image Capture atau Windows Photos.
- Jika fail ProRaw telah diedit tetapi mahu berkongsi fail DNG sahaja, buat salinan gambar, kemudian kembalikan fail kepada asal sebelum diedit. Fail DNG boleh boleh dikongsi menerusi AirDrop dan lain-lain.
- Jika menggunakan aplikasi pihak ketiga yang boleh memproses RAW+JPG dan mahu berkongsi kedua-dua fail, gunakan Image Capture untuk mendapatkan kedua-dua fail berasingan.
[Sumber: The Verge]