Pasaraya Village Grocer di lembah Klang dan Johor tidak lagi membekalkan beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran. Hal ini dikuatkuasakan serta merta.
Inisiatif yang dilakukan ini selari dengan matlamat kelestarian alam sekitar The Food Purveyor (TFP), iaitu “Bebas Plastik menjelang 2023”. Tujuan ia dilakukan adalah untuk melenyapkan semua plastik sekali pakai dari operasi perniagaan sebelum akhir tahun 2023.
Selain itu, misi bebas plastik ini juga adalah untuk mempromosikan alternatif yang dapat digunakan semula (recycle). Hal ini bagi memupuk perubahan tingkah laku individu untuk jangka panjang. Oleh itu, pelanggan perlu membawa beg yang boleh digunakan semula untuk membeli belah di Pasaraya Village Grocer.
Usaha TFP hentikan penggunaan beg plastik
Pada Oktober 2020 TFP menghentikan penggunaan beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran di Ben’s Independent Grocer (B.I.G.).
Kemudian, awal tahun 2021, TFP memperkenalkan penggunaan beg jaring yang boleh digunakan semula untuk buah-buahan dan sayur-sayuran segar di Village Grocer dan B.I.G. Usaha ini adalah bagi menggantikan beg plastik yang sering digunakan pembeli untuk membungkus bahan makanan yang ditimbang.
Ganjaran guna beg kitar semula
Ketua Pegawai Eksekutif The Food Purveyor, Geoff King berkata, apabila pelanggan membawak beg yang boleh dikitar semula, mereka akan diberi ganjaran melalui program kesetiaan pelanggan Bites.
Oleh itu, semakin banyak pelanggan menggunakan beg yang boleh digunakan semula, semakin banyak ganjaran diberikan. Hal ini sekaligus dapat memastikan bahawa tidak ada beg plastik yang tercemar ke persekitaran.
Dengan usaha yang dilakukan ini, TFP menjangkakan sekitar 30 juta bungkusan dan beg plastik sekali guna dapat dihindar pada akhir 2021. Ia secara tidak langsung dapat menggurangkan sisa plastik dan mendekatkan pelanggan dengan persekitaran yang sihat.