Pasukan Kajian Kesihatan Wanita Apple di Harvard T.H. Sekolah Kesihatan Awam Chan sudah mengeluarkan kemas kini kajian awal, yang memperlihatkan pandangan saintifik mengenai wanita dan gejala haid yang mereka alami.
Kajian ini pada awalnya dilakukan di antara Harvard T.H. Chan School of Public Health dengan kerjasama Institut Sains Kesihatan Alam Sekitar Nasional NIH (NIEHS).
Bagaimana kajian dijalankan?
Kajian Kesihatan Wanita Apple menjemput wanita di seluruh AS untuk menyumbang kepada penyelidikan hanya dengan menggunakan iPhone dan Apple Watch jika mereka memilikinya. Ia melibatkan 10 ribu wanita dari pelbagai usia dan bangsa di seluruh AS.
Mereka perlu mendaftar di aplikasi Apple Research untuk menyertai kajian. Melalui aplikasi ini, maklumat kitaran haid dan data kesihatan peserta akan dikumpul. Kajian ini diperkukuhkan melalui tinjauan yang dilakukan kepada peserta melalui aplikasi ini.
Maklumat data adalah dari individu itu sendiri dan kemudian merentasi pelbagai peringkat kehidupan mereka.
Melalui aplikasi ini juga, peserta boleh mengawal jenis data yang dikongsikan dan dapat mengetahui bagaimana data tersebut digunakan di dalam kajian.
Secara umumnya, semua peserta yang terlibat perlulah sekurang-kurangnya berusia 18 tahun. Jika di Alabama dan Nebraska sekurang-kurangnya 19 tahun, manakala di Puerto Rico sekurang-kurangnya 21 tahun. Peserta haruslah mempunyai pengalaman haid sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Dapatan kajian
Dari 10 ribu peserta yang mencatatkan gejala kitaran haid, lebih daripada 60 peratus peserta mempunyai kekerapan mengalami gejala seperti kekejangan perut, kembung, dan keletihan.
Selain itu, lebih daripada separuh peserta mengalami gejala kehadiran jerawat dan sakit kepala. Manakala 37 peratus mendapat simptom haid yang kurang dikenali oleh mereka seperti cirit-birit dan perubahan tidur.
Analisis awal juga menunjukkan tren gejala ini berlaku di pelbagai demografi merangkumi pelbagai usia, bangsa, dan lokasi geografi. Contohnya, dari kalangan peserta kulit hitam, Hispanik dan kulit putih, gejala yang paling kerap dilaporkan oleh mereka adalah kekejangan perut, kembung, dan keletihan.
Mengapa kajian ini penting?
Ramai doktor menganggap kitaran haid wanita sebagai satu perkara penting untuk kesihatan mereka, namun isu ini kurang diteliti. Penyelidikan perubatan mengenai haid kebiasaannya terbatas kerana mereka hanya jalankan kajian dengan wakil yang lebih kecil dan tidak mewakili populasi yang lebih luas.
Menurut Dr. Michelle Williams, Dekan fakulti di Harvard Chan School, kajian ini pada masa hadapan akan membuka peluang kepada semua individu yang mempunyai kitaran haid agar mereka mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan dan produk haid yang diperlukan untuk berasa selamat dan bertenaga.
Tambahnya, dengan membina sumber maklumat yang kuat mengenai simptom haid, kajian ini akan bantu masyarakat memahami faktor-faktor yang menjadikan haid sesuatu yang sukar untuk golongan wanita.
Selain itu, kajian ini juga boleh meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pengalaman haid yang dikongsikan oleh wanita di seluruh dunia. Oleh itu, tentunya tidak akan wujud stigma mengenai simptom haid yang di alami oleh golongan wanita.
Untuk bacaan selanjutnya mengenai kajian ini, anda boleh tekan di sini.
[Sumber: Apple]