OpenSignal telah mengeluarkan laporan terbaru mereka berkenaan kelajuan internet mudah alih di Malaysia. Laporan ini berdasarkan maklumat yang mereka dapati antara 1 Disember 2020 sehingga 28 Februari 2021.
Secara keseluruhan, Digi mengungguli laporan OpenSignal kali ini di dalam pengalaman games, video dan muat turun, mengatasi Maxis yang menunjukkan prestasi terbaik dalam laporan OpenSignal sebelum ini. U Mobile juga menunjukkan peningkatan besar dalam laporan ini dengan anugerah terbaik untuk kelajuan muat naik dan games.
Digi Terbaik dalam Muat Turun & Video
Dalam pengalaman video, Digi memenangi kategori ini dengan 62.7 mata, diikuti oleh Maxis dengan 61.2 mata, U Mobile 59.3 mata dan Unifi 57.9 mata. Kedudukan yang sama turut dilihat untuk pengalaman kelajuan muat turun dengan Digi 13.3mbps, Maxis 11.9Mbps dan U Mobile 9.6Mbps.
Celcom pula dilaporkan berada di tangga tercorot di kedua-dua kategori muat turun dan video. Malah, ia satu-satunya merekodkan kelajuan muat turun di bawah 9Mbps.
U Mobile menonjol dalam Muat Naik, Gaming & Suara
Mengekalkan kedudukan pertama di pengalaman muat naik, U Mobile mencatat kelajuan 7Mbps diikuti Digi pada 5.6Mbps, Maxis 4.6Mbps dan Celcom 4.4Mbps. U Mobile juga menerima mata tertinggi untuk pengalaman games dan video.
Liputan Celcom masih terbaik
Walaupun menunjukkan rekod kelajuan terendah dari yang lain, Celcom mengekalkan penguasaannya di kategori liputan 4G. Celcom menerima mata tertinggi 8.9 dalam kategori pengalaman liputan 4G, diikuti Digi pada 8.2 mata dan Maxis 8.1 mata. Agak mengejutkan apabila Unifi dianugerahkan pemenang untuk kesediaan 4G dengan sambungan pengguna sebanyak 89.6%, diikuti Celcom pada 89.4%.
Laporan OpenSignal juga diberikan dalam pecahan mengikut prestasi syarikat telekomunikasi mengikut negeri dan kawasan di Malaysia. Digi memberikan pengalaman video terbaik di 7 kawasan dan pemenang bersama di 8 kawasan lain. Digi juga mencatat kelajuan muat turun tertinggi di 12 kawasan manakala Maxis mencatat kelajuan tertinggi di Kuala Lumpur dengan 18Mbps.
Dalam inisiatif JENDELA, Malaysia mensasarkan untuk meluaskan liputan 4G dengan naik taraf jalur lebar dan perkakas 4G terkini. Dalam laporan suku pertama, liputan 4G di Malaysia telah meningkat dari 91.8% kepada 93.51%. Bagaimanapun, purata kelajuan hanya menaik sedikit sebanyak 1.76%, daripada 25Mbps kepada 25.44Mbps.
Jika berminat untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh membaca laporan penuh OpenSignal di sini.