Poco hari ini membawakan telefon pintar 5G paling murah keluaran mereka, Poco M3 Pro 5G ke pentas pelancaran antarabangsa. Walaupun menggunakan nama yang sama, versi Pro ini memiliki rekaan dan spesifikasi yang berbeza dari Poco M3 biasa.
Bagaimanapun, pelancaran kali ini hanya menyebut tentang pasaran Eropah. Khabar tentang penjualannya di Malaysia masih belum diketahui tetapi ia pasti akan datang.
Poco M3 Pro akan berada di pasaran seawal 20 Mei 2021 di negara terpilih. Harganya di Eropah diumumkan seperti berikut:
- Poco M3 Pro 5G (RAM 4GB + Storan 64GB) – EUR 179 (~RM904)
- Poco M3 Pro 5G (RAM 6GB + Storan 128GB) – EUR 199 (~RM1,005)
Untuk masa terhad, Poco M3 Pro ditawarkan dengan diskaun EUR 20, menjadi EUR159 untuk varian 64GB dan EUR 179 bagi 128GB.
Nampak agak mahal tetapi usah khuatir kerana harga di Eropah memang jauh lebih mahal dari Malaysia. Untuk perbandingan, kita boleh melihat harga rasmi Poco M3 iaitu EUR 149 di Eropah dan RM599 di Malaysia. Melihatkan perbezaan EUR 30 di Eropah, boleh dijangka harganya di Malaysia berkemungkinan besar adalah seperti berikut:
- Poco M3 Pro 5G (RAM 4GB + Storan 64GB) – RM749
- Poco M3 Pro 5G (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM849
Adakah ramalan kami tepat? Kita tunggu pengumumannya di Malaysia tidak lama lagi. Sementara itu, mari kita teliti spesifikasi telefon 5G termurah dari Poco ini.
Spesifikasi
Keupayaan 5G di dalam Poco M3 Pro direalisasikan dengan penggunaan cip Mediatek Dimensity 700 7nm. Prestasi ini dihebatkan lagi dengan penggunaan RAM LPDDR4x dan storan UFS 2.2.
Skrin sebesar 6.5-inci dipasang di hadapan, dari jenis LCD dan kini memiliki penyegaran dinamik sehingga 90Hz. Ini membolehkan ia mengubah kadar penyegaran automatik untuk menjimatkan penggunaan bateri.
Kapasiti bateri pula berkurangan, dari 6,000mAh menjadi 5,000mAh di versi Pro ini. Tetapi ia masih menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Sistem bunyinya mono dan ia masih mengekalkan jek audio 3.5mm serta pemancar infra merah.
Kamera juga tidak banyak berbeza dan paling penting, tiada kamera ultra lebar. Terdapat tiga kamera di belakang iaitu kamera utama 48MP, kamera makro 2MP dan kamera potret 2MP. Menariknya, Poco mengubah rekaan modul kamera belakang dengan rupa yang lebih menarik. Kamera hadapan pula terletak di dalam lubang kecil di sudut atas skrin, memiliki sensor 8MP.
Poco turut memasang NFC di dalam Poco M3 Pro, tetapi ia mungkin tiada di sesetengah negara. Selain itu, ia memiliki WiFi 5Ghz, Bluetooth 5.1 dan menyokong dwi-sim 5G.
Sistem operasi MIUI 12 berasaskan Android 11 menjadi penggerak peranti ini. Kepala pengecas juga turut disertakan di dalam kotak, tidak perlu dibeli berasingan.
Terdapat tiga warna untuk Poco M3 Pro diumumkan dalam pelancaran ini iaitu hitam, kuning dan biru. Untuk maklumat lanjut, boleh merujuk laman produk Poco M3 Pro 5G.