Poco M3 dilancar sebagai telefon Poco paling mampu dimiliki

Poco hari ini melengkapkan barisan peranti keluaran mereka dengan melancarkan Poco M3, telefon pintar kelas permulaan yang sangat mampu dimiliki. Ia menyertai telefon flagship Poco F2 Pro dan peranti kelas pertengahan Poco X3 NFC.

Walaupun peranti termurah, ia lengkap dengan semua perkakas asas yang diperlukan masa kini. Kuasa pemprosesnya diuruskan oleh cip Snapdragon 662, bersama RAM LPDDR4X 4GB dan storan dalaman UFS 2 sehingga 128GB. Ia juga menerima kad mikroSD dalam slot khas, di samping dua kad sim nano.

Skrin Poco M3 sebesar 6.53-inci, saiz yang banyak digunakan di peranti Xiaomi seperti Redmi 9 dan Redmi Note 9. Ia dari jenis LCD, dengan kadar penyegaran 60Hz dan resolusi HD Penuh. Kaca Corning Gorilla Glass 3 digunakan sebagai lapisan luar skrin.

Tenaga Poco M3 pula disalurkan dari bateri mega, berkapasiti 6,000mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 18W USB-C dan Poco memberikan pengecas 22.5W di dalam kotak. Sesuatu yang tiada di dalam kotak iPhone 12.

Kamera pula, ada 3 di belakang tetapi tidaklah begitu membanggakan. Ia menggandingkan kamera utama 48MP F1.79, resolusi yang tinggi untuk peranti kelas permulaan. Dua lagi ialah kamera makro 2MP F2.4 dan kamera potret 2MP F2.4. Tiada kamera ultra lebar. Kamera hadapannya pula 8MP F2.05, terletak di dalam takuk di dahi skrin.

Sistem bunyi pula dihasilkan menerusi dua corong speaker, satu di bawah dan satu lagi di atas skrin. Ia juga masih mengekalkan jek audio 3.5mm untuk sambungan fon telinga berwayar. Pengimbas capjarinya terletak di sisi, memberikan rupa kemas dan bersih di belakang.

Lain-lain fungsi menarik yang ada di Poco M3 ini ialah WiFi 2.4/5GHz, Bluetooth 5.0, pemancar infra merah dan FM radio melalui fon telinga.

Harga dan Tarikh Jualan

Poco M3 disediakan dalam tiga warna iaitu hitam, biru dan kuning. Ia akan mula dijual di Malaysia bermula dari 27 November 2020, dengan harga berikut:

  • Poco M3 (RAM 4GB + storan 64GB) – RM599
  • Poco M3 (RAM 4GB + storan 128GB) – RM699

Tetapi hanya dua warna akan dijual di Malaysia pada awalnya, biru dan hitam. Warna kuning akan datang di kemudian hari. Jika berminat, anda boleh berkunjung ke Stor Xiaomi Global di Lazada untuk membeli Poco M3 bermula 27 November 2020.