Nurflix adalah platform penstriman dalam talian yang menyediakan kandungan sopan dan patuh syariah, yang lahir di Malaysia. Menyedari kekangan dan keterbatasan untuk produksi penggambaran dan pembangunan kandungan, Nuflix telah melancarkan inisiatif pembinaan rangkaian media Islamik antarabangsa.
Ketua Pegawai Eskekutif Nurflix, Syah Mohamed menjelaskan, kesan pandemik telah membuatkan mereka memperkasakan jalinan penerbitan dan media dengan menjangkau rangkaian kerjasama bersama syarikat penerbitan dan media islamik dari luar negara.

“Kami mahu mencapai objektif dalam usaha memberi manfaat kepada penggiat seni dan komuniti. Kita akan ada kandungan serta kerjasama dari syarikat penerbitan luar seperti dari United Kingdom, Mesir, Qatar, Turki dan Indonesia. Melalui kerjasama ini, dianggarkan akan ada lebih 1,000 kandungan untuk ditonton menjelang akhir tahun ini, InshaAllah” katanya lagi.
Kemasukan kandungan-kandungan luar ke dalam Nurflix juga akan memberi peluang pekerjaan pasca-produksi, terjemahan kandungan dan alih bahasa. Inisiatif ini juga dibuat agar penonton dapat terus menikmati kandungan patuh Syariah, dari dalam dan luar negara.
“Dengan jalinan rangkaian ini kita berharap kandungan dan program dari luar boleh kita tonton di Nurflix dan kandungan dari Malaysia juga ditonton di luar sana. Sudah tiba masa untuk rangkaian ini diperkasakan.” terang Syah mengenai kewujudan rangkaian platform, pemasaran dan penerbitan ini.

Platform pembelajaran Nurflix Goldfish
Nurflix kini turut mensasarkan untuk menjadi platform pembelajaran, bukan semata-mata hiburan dengan menyajikan filem dan drama semata-mata.
Bagi memperkasa kandungan mereka, Nurflix mengumum kerjasama dengan Sutera Hijau Ventures Berhad untuk melancarkan aplikasi ‘Nurflix Goldfish 2.0’. Ia akan tersedia untuk pelbagai peranti iOS, Android dan Smart TV bagi menggantikan aplikasi hibrid sedia ada sejak pelancaran Nurflix Beta pada Oktober 2020.

“Naik taraf ini akan dilancarkan sempena 1 Muharram atau 10 Ogos 2021 dan akan memberi kelebihan kepada pengguna kerana ia akan lebih stabil dan pantas,” terang Syah mengenai pengukuhan aplikasi natif yang akan dilaksanakan kelak.
Dengan penambahbaikan yang sedang giat diperkasa ini, Nurflix berharap agar dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat-penggiat media Islamik sekaligus menggerakkan ekonomi terutama di sektor penerbitan dan media sepanjang dunia dilanda pandemik. Harga pakej langganan baharu juga akan turut diumumkan pada Ogos akan datang.
Harga langganan Nurflix
Nurflix kini ditawarkan secara percuma untuk kandungan tertentu, serta kandungan penuh premium dengan pelan bulanan, tahunan atau sepanjang hayat. Harga pelan Nurflix buat masa ini adalah seperti berikut:
- Nurflix Silver (bulanan) – RM36/bulan
- Nurflix Gold (tahunan) – RM336/tahun
- Nurflix Platinum (sepanjang hayat) – RM3,600
Pengguna Nurflix boleh menikmati kandungan Nurflix menerusi pelayar di laman web Nurflix.tv, atau muat turun aplikasi mudah alih di Apple Appstore dan Google Playstore.