Tahun 2022 masih ada 5 bulan lagi dari sekarang, tetapi ia tidak menghalang pengeluar kenderaan terkemuka negara, Proton untuk melancarkan model baharu mereka. Dua buah kereta Proton telah diberi sentuhan 2022 iaitu Proton Iriz 2022 dan Prootn Persona 2022.
Kedua-dua kereta ini bukanlah kereta serba baharu, sebaliknya ia menawarkan sedikit penyegaran pada rekaan dengan beberapa ciri-ciri canggih ditambah. Proton juga mempersembahkan warna baharu dengan keselesaan dan keselamatan lebih tinggi untuk kedua-dua model ini.
Lebih menarik lagi, Proton menambah beberapa naik taraf teknologi yang sangat menarik di model terbaru. Ini 6 perkara tentang teknologi baru yang terdapat di Iriz dan Persona 2022.
1. Skrin sentuh 8″ terapung
Tambahan baru paling menarik kami adalah skrin sentuh 8-inci terapung yang mirip Saga 2020, menggantikan skrin 7-inci yang dipasang ke dalam ruang radio biasa. Konsol tengah papan pemuka juga telah direka semula dengan ruang penyaman udara kini terletak di bawah skrin.
Skrin ini boleh memaparkan pelbagai maklumat seperti cuaca terkini, navigasi GPS, dan aplikasi seperti penstriman muzik Joox. Ia juga menyokong sambungan ke telefon pintar dengan menjadi pendua skrin peranti ke paparan besar di kereta.
Paparan ini juga dilengkapi kamera belakang yang terdapat untuk semua model, kecuali model Standard. Bagaimanapun, fungsi tercanggih iaitu talian mudah alih 4G dan WiFi untuk kegunaan penstriman dalam talian dan navigasi GPS, hanya terdapat di model tertinggi Active dan Premium sahaja.
Untuk model Standard Iriz dan Persona 2022, Proton telah memasang pemain audio standard sahaja. Dari gambar di atas, anda dapat melihat bahawa ia tidak memiliki alat kawalan audio di stereng.
2. Arahan kawalan suara
Pada model skrin 7-inci sebelum ini, arahan suara hanya boleh digunakan untuk kawalan muzik, navigasi dan ramalan cuaca sahaja. Versi terbaru kini membolehkan anda mengawal lebih banyak menggunakan suara.
Sama seperti di Proton X70, pengguna boleh menggunakan fungsi “Hi Proton” untuk mengawal perkara seperti penyaman udara dan tingkap kuasa. Ini memberi kemudahan tambahan yang membolehkan pemandu mengekalkan tangan di stereng. Bagaimanapun, fungsi arahan kawalan suara ini hanya terdapat di model Iriz Active dan Persona Premium sahaja.
3. Kawalan penyaman udara dengan paparan digital
Berbanding dail analog tradisional, Proton kini mengubah alat kawalan penyaman udara kepada rekaan digital yang serupa dengan Proton X50. Tetapi ia sebenarnya masih dikawal manual, bermakna tiada kawalan iklim (climate control) automatik, di mana pengguna boleh menetapkannya pada suhu yang diingini.
Papan kawalan digital penyaman udara baru ini terdapat di semua model Iriz dan Persona 2022, termasuk model Standard.
4. Sejumlah 6 port USB
Pengguna yang memerlukan bateri peranti mereka penuh berkuasa sepanjang masa di dalam kereta pasti gemarkan dengan penambahan terbaru ini. Proton kini melengkapi Iriz dan Persona 2022 dengan 6 port USB di dalam kereta.
Di hadapan, sejumlah 3 port USB-A terdapat di atas pemuka kawalan penyaman udara, dengan 1 port untuk data dan 2 lagi untuk kuasa sahaja. Penumpang di belakang pula diberikan 2 port USB-A, terletak di tengah hadapan.
Satu lagi port USB-A terletak di hadapan, di bahagian atas berdekatan cermin pandang belakang. Ia boleh digunakan untuk memberi kuasa kepada kamera “dashcam” yang sering dipasang di bawah cermin pandang belakang. Ini sangat memudahkan kerana pengguna tidak perlu lagi menarik kabel yang panjang untuk menyambungnya kepada kuasa di bawah radio.
5. Lampu hadapan LED
Model 2022 kali ini datang dengan lampu hadapan LED dan menyokong fungsi on/off automatik, serta “follow me home”. Bagaimanapun, lampu LED ini hanya terdapat di model tertinggi iaitu Iriz Active dan Persona Premium.
Untuk model lain, ia masih menggunakan lampu halogen. Bagaimanapun, lampu LED “daytime running lamps” (DRL) masih terdapat untuk semua model, kecuali model Standard.
6. Minimum 4 beg udara sebagai standard
Bagi meningkatkan tahap keselamatan, Proton kini tidak lagi memasang hanya 2 beg udara. Untuk Persona dan Iriz 2022, ia dilengkapi dengan 4 beg udara di hadapan dan sisi di model Standard. Model lebih tinggi Iriz Executive dan Active, dipasang dengan 6 beg udara.
Tetapi di Persona 2022, hanya model Premium dilengkapi 6 beg udara. Model Executive masih dipasang dengan 4 beg udara sahaja. Tetapi ini masih naik taraf yang besar memandangkan sebelum ini Persona hanya memiliki 2 beg udara untuk model selain Premium.
Harga jualan Persona 2022
Proton Persona 2022 kini menerima tempahan dan terdapat dalam tiga varian CVT. Harga di bawah ini ialah harga atas jalan, tidak termasuk insuran. Harga ini juga termasuk pengecualian SST, yang sah sehingga 31 Disember 2021.
Malaysia Barat
- Persona 1.6 Standard – RM45,200
- Persona 1.6 Executive – RM50,100
- Persona 1.6 Premium – RM54,900
Malaysia Timur
- Persona 1.6 Standard – RM47,200
- Persona 1.6 Executive – RM52,100
- Persona 1.6 Premium- RM56,900
Selain jeriji hadapan diperbaharui dengan logo bulat Proton, Persona 2022 juga menerima rim aloi 16-inci baharu. Di dalam, ia menggunakan kemasan Leatherette di kerusi dan pintu. Ia juga dilengkapi tempat letak tangan di tengah baharu berwarna coklat.
Harga jualan Iriz 2022
Proton Iriz 2022 juga dibuka tempahan sekarang. Terdapat 3 model CVT tanpa pilihan gear manual. Harga di bawah ini ialah harga atas jalan termasuk pengecualian SST, tidak termasuk insuran.
Malaysia Barat
- Iriz 1.3 Standard – RM40,300
- Iriz 1.6 Executive – RM47,100
- Iriz 1.6 Active – RM54,000
Malaysia Timur
- Iriz 1.3 Standard – RM42,300
- Iriz 1.6 Executive – RM49,100
- Iriz 1.6 Active – RM56,000
Rekabentuk Iriz Active diberikan sentuhan ala SUV “crossover” di luar. Boleh dikatakan, ia seperti Proton X50 yang lebih kecil, dengan bumbung berwarna hitam dan jeriji hadapan bergaris merah. Model Active juga diberikan rim aloi 16-inci.
Berbeza dengan Iriz Executive yang dilengkapi kerusi Leatherette, model Active datang dengan kerusi separa kulit dan fabrik. Kerusi ini memiliki jahitan merah bersama beberapa warna merah terdapat di sekitar kemasan dalaman kereta, termasuk konsol tengah. Di bahagian pintu tertera tulisan “ACTIVE” tertulis berwarna merah. Tempat meletak tangan di tengah juga terdapat di dalam, sama seperti Persona baharu.
Apa yang tidak berubah?
Di bahagian enjin dan transmisi masih kekal sama seperti model sebelum ini. Persona dan Iriz 2022 menggunakan enjin petrol 4-silinder 1.6 liter yang menghasilkan kuasa 109PS (107hp) dan tork 150Nm. Manakala Iriz Standard menggunakan enjin petrol 4-silinder 1.3 liter dengan kuasa 95PS (94hp) dan tork 120Nm.
Proton juga tidak mengubah transmisi, masih dengan CVT di semua model Iriz dan Persona 2022. Ia juga mengekalkan tangki petrol 40-liter serta brek dram di tayar belakang.
Walaupun dilengkapi sistem hiburan baru, ia masih tidak menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
Dari segi keselamatan, semua model Proton Iriz dan Persona 2022 dilengkapi Sistem Antikekunci Brek (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Bantuan Hentian Bukit (HHA). Selain beg udara lebih banyak di model teratas, tiada tambahan fungsi keselamatan baharu seperti Amaran Berubah Laluan (LDW) mahupun Brek Kecemasan Autonomi (AEB).
Proton Iriz dan Persona 2022 disertakan dengan 5 tahun jaminan atau 150,000km, serta 3 kali khidmat buruh percuma semasa penyelenggaraan berkala. Turut diberikan bersama adalah pakej data 1GB sebulan selama 5 tahun.
Untuk mengenalinya dengan lebih lanjut, layari laman sesawan Proton Iriz dan Proton Persona.