Prism+ ialah jenama pengeluar monitor dan TV pintar daripada Singapura yang sedang meluaskan empayar mereka di Malaysia. Saya perasan yang mereka banyak menghantar produk monitor mereka kepada pembangun-pembangun kandungan terkenal tanah air.
Seunit Prism+ X240 telah singgah di meja editor kami untuk dipandu uji. Memanglah menghantarkannya kepada kami, namun pihak Prism+ Malaysia tidak mempengaruhi bagaimana kami berkongsikan pengalaman kami sepanjang menggunakannya.
*Ralat Cakupan warna sRGB monitor ini ialah 120% dan bukannya 105% seperti yang dikatakan dalam video.
Prism+ X240 monitor melengkung termurah
Prism+ X240 adalah monitor melengkung termurah dalam barisan penawaran Prism+. Kalau anda cari yang paling murah, mereka ada tawarkan monitor rata pada harga RM699 untuk model Prism+ F240v. Spesifikasi X240 dengan F240v sama saja kecuali satu ialah jenis melengkung dan satu lagi tidak.
Kenapa anda perlu monitor melengkung?
Seandainya anda banyak habiskan masa memandang monitor, lebih-lebih lagi yang saiznya besar, saya sarankan anda pertimbangkan jenis melengkung.
Sewaktu bekerja, anda biasanya duduk lebih hampir dengan paparan. Bila skrin anda besar, jarak anda dengan titik tengah dengan pinggir paparan agak ketara perbezaannya. Perbezaan ini akan menyebabkan mata perlu kerap lakukan aktiviti fokus/nyahfokus.
Akibatnya, mata akan jadi letih dan pada masa itulah anda berasa pening dan mengantuk. Itu belum diambil kira cahaya biru tidak bertapis yang jatuh di atas retina mata.
Kalaulah jarak pandang anda malar ke segenap polosok.
Itulah gunanya monitor melengkung, untuk buatkan perbezaan jarak seminimum mungkin. Pada Prism+ X240, ia ada nilai R1200. Bermakna, kadar lengkungannya adalah seperti sebuah bulatan radiusnya 1200mm. Makanya, kalau kepala anda berada 1.2m daripada monitor, tak kiralah anda pandang ke pinggir paparan ataupun ke tengah, jaraknya tetap sama.
Prism+ X240 untuk gaming
Di bahagian belakang monitor ini ada sejumlah port I/O boleh anda gunakan. 2 port HDMI yang ia ada adalah jenis HDMI 1.4. Kemudian, anda juga ada DisplayPort dan satu jek audio 3.5mm untu audio out.
Pada saiz 24”, saya rasakan yang saiznya sesuai untuk setup gaming yang berada dalam ruangan tak terlalu luas dan pemainnya duduk sekitar 1 meter daripada paparan. Menurut Sony, jika jarak menonton adalah 1 meter, saiz paparan yang sesuai adalah 26”, tak jauh sangat bezanya dengan R1200 monitor X240 ini.
Menonton terlalu hampir dengan paparan pun tidaklah berapa sesuai kerana panel VA monitor ini hanya sediakan resolusi FHD sahaja. Kesan piksel semakin ketara bila anda semakin hampir dengan paparan.
Gamers yang ada mesin berkuasa bolehlah gunakan port DisplayPort untuk mempertingkat refresh rate paparan kepada 165Hz. Kami gagal mencubanya disebabkan kurangnya kelengkapan namun 120Hz melalui port HDMI cukuplah baik untuk permainan yang bukan jenis kompetetif.
Buka setakat 165Hz, ia turut menyokong piawiaian AMD OpenSync untuk pengalaman gaming bebas tearing.
Saya dapati yang penghasilan warnanya baik jika diilhat daripada depan. Prism+ melaporkan yang cakupan sRGB monitor ini berada pada 120%. Namun, saya tak sarankan monitor ini untuk kerja-kerja kreatif kerana sudut pandangnya akan mempengaruhi warna yang anda lihat atas permukaan.
Ia tentu sekali boleh menyumbang kepada ralat sewaktu bekerja.
Prism+ X240 untuk kerja
24” adalah keluasan skrin yang baik. Tidak terlalu besar hingga menyebabkan saya perlu perbetulkan kepala setiap kali hendak melihat kandungan di hujung skrin dan tidak pula terlalu kecil sehingga sukar untuk lihat kandungan paparan.
Kalau dibandingkan dengan skrin 14” laptop saya, memang jauh sekali bezanya. Tugasan berbilang tetingkap sangat mudah kerana bila dibahagi dua pun, saya masih selesa lakukan kerja.
Panel paparannya cukup terang. Pada 320nits, ia standing dengan jenama-jenama gah yang lain. Kalau anda nak gunakan monitor ini untuk menonton TV juga baik kerana kehadiran HDMI ke-2 bolehlah anda gunakan bersama kekotak Android dan seandainya nak bunyi lagi padu, gunakan saja soundbar ataupun headfon untuk aktiviti menonton lebih privasi.
Namun, saya tetap ada aduan yang ingin saya utarakan terhadap Prism+ X240. Contohnya, pada harga RM799, alangkah bagusnya jika ketinggian paparan boleh diubah ke paras yang lebih tinggi.
Dengan tetapan sedia ada, saya rasakan yang ia terlalu rendah dan saya perlu menunduk lebih bawah sehingga tengkuk terasa lenguh. Kalau saya turunkan ketinggian kerusi, ia akan korbankan ergonomik tangan saya dengan papan kekunci pula.
Bagus ke tak monitor ini?
Untuk sebuah jenama baharu, Prism+ nampak seperti memiliki perancangan yang teliti untuk hala tujunya. Lihat sajalah pada jaminan 3 tahun yang ditawarkannya membuktikan keyakinan mereka terhadap produk sendiri.
Daripada sudut tanda harga, Prism+ X240 dijual pada harga RM799. Ia tidaklah terlalu beza sangat dengan apa yang ditawarkan oleh jenama-jenama sedia ada. Contohnya, Acer Gaming Monitor 24” ditawarkan pada harga RM699 manakala Aopen 27” dan HP X24c beberapa ringgit lebih murah berbanding X240.
Saya boleh simpulkan yang harganya kompetetif dan satu-satunya yang boleh mengangkat jenama ini melewati yang lain adalah pada servis selepas pembelian yang mantap. Untuk itu, hanya masa saja yang boleh menentukannya.
Anda boleh dapatkan Prism+ X240 di sini https://bit.ly/3AyUxpu
Layari laman rasmi Prism+ Malaysia untuk maklumat lanjut. https://bit.ly/3iCvuvO