Acara Samsung Galaxy Unpacked hari ini telah menyambut ketibaan telefon pintar dengan skrin boleh lipat generasi ketiga Samsung, iaitu Galaxy Z Fold 3. Peranti hibrid tablet dan telefon pintar ini menampilkan ciri-ciri serba baharu, meletakkan dirinya sebagai peranti boleh lipat terunggul di pasaran.
Dimulakan dengan prestasinya, sudah pasti Samsung menggunakan kuasa terhebat masakini, cip Snapdragon 888. Prestasi ini dipertingkat dengan gandingan RAM LPDDR5 sebesar 12GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehinga 512GB. Dwi-sim disokong dengan penggunaan kad SIM nano dan juga eSIM.
Tenaga disalurkan oleh bateri berkapasiti 4,400mAh yang menyokong pengecasan pantas USB-C 25W.
Fizikal dan Skrin
Badan Galaxy Z Fold 3 kini dihasilkan daripada besi aluminium terkuat pernah digunakan Samsung, digelar sebagai Armor Aluminium. Ia dipadankan dengan lapisan kaca Corning Gorilla Glass Victus, kaca paling tahan lasak keluaran Corning.
Bagi skrin di dalam yang boleh dilipat, Samsung mengekalkan skrin Dynamic AMOLED 2X yang sama. Ia berukuran 7.6-inci dengan resolusi QXGA+ (2208×1768) dan berkadar penyegaran 120Hz adaptif.
Skrin di luar telah dinaik taraf kepada Dynamic AMOLED 2X, masih berukuran 6.2-inci HD+ (2268×832) tetapi dengan kadar penyegaran 120Hz adaptif untuk paparan yang lebih lancar dan lembut di pandangan.
Bagaimanapun, pengimbas capjari masih tidak terdapat di dalam skrin. Ia masih diletakkan di butang kuasa di sisi. Speaker stereo turut dikekalkan padanya.
Kamera sembunyi di sebalik skrin
Sama seperti sebelumnya, terdapat tiga kumpulan kamera di Galaxy Z Fold 3 iaitu kamera belakang, kamera skrin hadapan dan kamera skrin di dalam. Tarikan utama adalah kamera di dalam kerana ini adalah yang pertama di Samsung, tersembunyi di belakang skrin. Ia adalah kamera 4MP F1.8 yang tidak kelihatan sekali imbas, tetapi boleh dilihat jika diteliti kerana ada bulatan piksel skrin yang tidak sekata. Tetapi ini adalah langkah pertama menuju kamera di sebalik skrin yang lebih canggih di masa hadapan.
Bagi skrin hadapan, ia memiliki lubang di dahi memuatkan kamera 10MP F2.2. Kamera belakang pula menggandingkan kamera utama 12MP F1.8 dwi-piksel OIS, kamera ultra lebar 12MP F2.2 serta kamera telefoto 12MP F2.4 PDAF OIS dengan zum optikal 2x.
Naik taraf terhebat – kalis air IPx8
Perkara paling menarik diumumkan pada Galaxy Z Fold 3 adalah ia kini kalis air IPx8. Bermakna, ia boleh masuk ke dalam air segar sedalam 1.5 meter sehingga 30 minit. Semacam mustahil tetapi ia berjaya dilakukan Samsung.
Menurut Samsung, perkara ini dicapai dengan penggunaan bahan anti karat. Tetapi lebih penting, litar dan papan induk dilindungi dengan getah dan CIPG, sejenis bahan yang melekatkan litar kepada papan induk sambil melindunginya dari terkena air.
Tambahan berguna – S Pen
Dijual berasingan, Galaxy Z Fold 3 kini menyertai barisan peranti Samsung yang menyokong penggunaan S Pen di kedua-dua skrin dalam dan luar. Terdapat dua jenis S Pen yang boleh digunakan di peranti ini. Pertama adalah S Pen Fold Edition tanpa bateri. Ia boleh digunakan apabila menyentuh skrin atau “Air Command” apabila berhampiran dengan skrin.
S Pen Pro pula yang boleh digunakan oleh lebih banyak peranti lain seperti Galaxy S21 Ultra dan Galaxy Tab S7, memiliki bateri dan dicas melalui USB. Ia menyokong arahan Air Actions jarak jauh, yang berhubung secara Bluetooth.
S Pen ini boleh dilekatkan pada Galaxy Z Fold 3 menggunakan casing khas. Dengan ini, Galaxy Z Fold 3 turut boleh digunakan mencatat nota atau melakar, seperti di siri Galaxy Note yang tiada model baru dilancarkan tahun ini.
Lebih banyak pilihan warna
Berbanding hanya 2 warna di Z Fold 2, Samsung kini menyediakan 3 warna untuk dipilih bagi Z Fold 3 iaitu hitam, hijau dan perak.
Sistem operasi One UI 3 yang direka khas untuk skrin boleh lipat digunakan di Galaxy Z Fold 3, tetapi ia masih berasaskan Android 11.
Harga lebih murah
Samsung Galaxy Z Flip 3 akan boleh ditempah di pasaran terpilih mulai 11 Ogos, dan dijual mulai 27 Ogos 2021 antaranya di Amerika Syarikat, Eropah dan Korea Selatan. Tiada pengumuman mengenai jualan di Malaysia lagi.
Tetapi lebih menarik adalah harganya. Samsung mengumumkan harga Z Fold 3 ini lebih murah berbanding Z Fold 2 ketika dilancarkan. Jika Z Fold 2 dilancarkan berharga USD1,999, Z Fold 3 pula dijual bermula dari USD1,799.
Kalau Z Fold 2 dilancarkan di Malaysia tahun lepas pada harga RM7,999, kita mungkin boleh melihat Z Fold 3 dijual di sini pada harga sekitar RM6,999. Bagaimanapun, kena tunggu pengumuman rasmi Samsung Malaysia. Malah, pasti ada hadiah lumayan menanti mereka yang membuat tempahan awal kelak.
Sementara itu, dapatkan maklumat lanjut mengenai Galaxy Z Fold 3 di laman produk Samsung.