Peranti mampu milik kian bertambah di Malaysia apabila Realme kini mengumumkan ketibaan model baharu, Realme C21Y. Telefon ini menggunakan kuasa daripada cip Unisoc, memberi prestasi memuaskan pada harga sangat mampu dimiliki.
Cip Unisoc T610 di dalam Realme C21Y memiliki 8 teras gandingan Cortex A75 dan A55, diperbuat daripada proses 12nm. RAM sebanyak 4GB dan storan 64GB dimuatkan ke dalamnya. Ia turut menerima dua kad sim nano dan kad mikroSD serentak, di dalam 3 slot berasingan.
Telefon ini memiliki skrin sebesar 6.5-inci HD+, bertakuk kecil di dahi. Takuk ini memuatkan kamera hadapan 13MP. Di belakang pula ia memiliki tiga kamera, gabungan kamera utama 13MP, kamera makro 2MP dan kamera hitam putih 2MP.
Bateri di dalamnya berkapasiti 5,000mAh dan mengecas melalui port mikroUSB dengan kuasa 10W. Speakernya mono dan ia ada jek audio 3.5mm di bawah telefon.
Realme turut mempromosi C21Y dengan pengiktirafan Kepercayaan Tinggi TÜV Rheinland di mana ia menunjukkan peranti telah melepasi pelbagai ujian kualiti ketat oleh TÜV Rheinland. Ini adalah peranti pertama Realme menerima pengiktirafan ini, sebagai usaha Realme untuk meningkatkan kepercayaan pengguna.
Telefon pintar Realme 21Y hadir dalam 2 warna, biru dan hitam, dengan kemasan bersilang di belakang. Ia mula dijual di Malaysia pada 11 Ogos 2021 pada harga RM549 dan boleh dibeli daripada semua pengedar sah Realme.
Realme Fan Festival 2021
Di samping itu, Realme turut mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan acara Realme Fan Festival 2021. Acara ini adalah untuk meraikan peminat Realme di samping pelancaran produk baru, termasuk Realme GT Master Edition. Ia akan diadakan pada 18 Ogos 2021.
Bersempena itu, Realme akan menyediakan promosi paling besar pernah diadakan sempena Realme Fan Festival 2021. Ia akan berjalan dari 18 hingga 28 Ogos 2021. Peminat Realme tidak boleh terlepas pengumuman pada 18 Ogos nanti, untuk mengetahui apakah promosi yang akan disediakan.