Pemain utama dalam sektor IT seperti Amazon Web Services, Facebook, Google, dan Microsoft terus mencuba nasib dalam usaha mereka merungkaikan isu kabotaj yang membelenggu sejak sekian lama. Kali ini, permohonan dipanjangkan pula kepada Perdana Menteri baru, Dato’ Ismail Sabri Yaakob.
Sama seperti sebelum-sebelum ini, permintaan mereka ialah supaya kerajaan memperkenalkan semula pengecualian kabotaj ke atas kapal berpendaftaran luar negara yang masuk ke perairan Malaysia untuk lakukan penyelenggaraan kabel dasar laut.
Dalam surat yang ditujukan kepada PM, pihak yang terlibat mempamerkan rasa tidak sabar ingin bekerjasama dengan pentadbiran baharu dalam menjayakan pelan MyDigital, pelan yang ingin membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Pengecualian kabotaj perlu dilaksanakan segera
Sudah beberapa kali pemain utama sektor IT dunia cuba mendapatkan semula pengecualian ini. Selepas dimansuhkan oleh Dr. Wee Ka Siong, mereka berunding pula dengan YB Khairy Jamaluddin, menteri MOSTI pada ketika itu. Masih gagal, mereka berpaling pula kepada bekas PM, Tan Sri Muhyiddin sebelum kabinet dibubarkan.
Apa yang dimohon adalah pengecualian ke atas kapal penyelenggaraan kabel dasar laut kelas DP2 yang diperlukan dalam kerja-kerja selenggara komponen di laut dalam. Asalnya, ia diperkenalkan oleh Anthony Loke sewaktu Pakatan Harapan memerintah dengan sokongan Gobind Singh, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Rasionalnya pengecualian ini ialah untuk mempercepat proses pembaikan kabel dasar laut yang sebelum ini mengambil purata 27 hari lebih lama berbanding Fillipina, Singapura, dan Vietnam.
Kepentingan kabel dasar laut
Salah satu misi dalam pelan MyDigital ialah memiliki paling banyak lokasi pendaratan kabel dasar laut di Asia Tenggara sebelum 2025. Apabila banyak kabel dasar laut dihubungkat terus ke negara, capaian Internet negara kita akan jadi lebih stabil dan pantas.
Tambahan pula, dalam musim pandemic COVID-19, trafik Internet negara kita meningkat. Pada waktu puncak, MyIX menyaksikan trafik 614Gbps dalam jalinan Internet negara sewaktu PKP dilaksanakan berbanding 500Gbps dalam tahun 2019.
Sewaktu pengecualian kabotaj dimansuhkan, Malaysia mungkin telah kehilangan potensi menjadi lokasi pendaratan sekurang-kurangnya 3 kabel dasar laut. Dalam bulan April lalu, rancangan kabel Echo dan Bifrost telah melangkau negara kita tetapi mereka mendarat di Singapura dan Indonesia. Kemudian, dalam bulan Ogos, kabel Apricot pula dirancang mendarat di Singapura.