Ada pelbagai punca yang menyebabkan hayat bateri telefon cepat habis dan tidak tahan lama. Antaranya ialah apabila pengguna tetapkan kecerahan skrin pada tahap maksimum dan menghidupkan audio yang menggunakan banyak tenaga bateri. Sebagai langkah untuk memanjangkan hayat bateri pada telefon, berikut merupakan cara yang boleh dilakukan.
1. Hidupkan mod penjimat kuasa
Tetapkan mod penjimat kuasa (power saving mode) yang bersesuaian. Ciri ini akan mengurangkan prestasi peranti dan menghadkan kebanyakan data yang berjalan. Di Android 10, ada 4 pilihan di bawah mod kuasa iaitu:
- High Performance – Ia guna lebih banyak bateri dengan meningkatkan kecerahan dan resolusi skrin. Ia turut mengekalkan keseimbangan antara prestasi dan hayat bateri.
- Optimized – Mod ini menawarkan prestasi dan jangka hayat bateri yang seimbang.
- Medium Power Saving – Hayat bateri boleh dipanjangkan. Ia akan menghadkan penggunaan data dan menurunkan kecerahan, resolusi, dan prestasi CPU.
- Maximum Power Saving – Hanya aplikasi dan perkhidmatan penting sahaja boleh digunakan.
Untuk mengubahnya, anda boleh ke tetapan dan pilih Power Saving.
Untuk iPhone, anda boleh aktifkan Low Power Mode. Apabila mod ini dihidupkan, telefon anda hanya akan menjalankan tugas yang paling penting. Aktiviti latar belakang seperti muat turun akan dinyahaktif. Simbol bateri di skrin utama pula akan bertukar menjadi warna kuning apabila ciri ini digunakan.
Untuk aktifkannya, anda boleh pergi ke tetapan, pilih battery dan hidupkan Low Power Mode.
2. Periksa rangkaian data Internet
Penggunaan data Internet yang berpanjangan boleh beri kesan kepada bateri. Sebaiknya, gunakan WiFi untuk mengakses Internet. Biarkan WiFi pada telefon kekal aktif dan bersambung ke rangkaiannya apabila anda berada di rumah.
3. Aktifkan mod gelap
Mod gelap berfungsi untuk jimatkan penggunaan bateri jika peranti anda menggunakan paparan OLED atau AMOLED. Ianya kerana, paparan anda akan mematikan piksel hitam dan menggunakan hanya sedikit tenaga bateri untuk skrin. Aktifkan mod gelap dengan pergi ke tetapan, cari display dan pilih dark mode.
Sokongan mod gelap juga ada di aplikasi seperti twitter dan YouTube, anda boleh hidupkannya di tetapan aplikasi.
4. Turunkan kecerahan skrin
Turunkan kecerahan skrin di telefon anda. Laraskan ia dibahagian tetapan. Anda juga harus pertimbangkan untuk mematikan kecerahan automatik. Ia dilaraskan berdasarkan keperluan anda, tetapi adakalanya ia meningkatkan kecerahan paparan skrin lebih tinggi daripada sepatutnya.
Anda juga boleh tetapkan tempoh untuk skrin kekal menyala. Di bawah tetapan paparan pada telefon, tetapkan ia agar menjadi gelap dalam beberapa saat.
Nyahaktifkan juga notifikasi dari aplikasi tertentu. Dengan ini, telefon tidak akan menyala setiap kali notifikasi yang tidak penting diterima.
5. Senyapkan telefon
Telefon yang sentiasa berbunyi akan menyebabkan bateri cepat habis. Hal ini kerana, motor dalaman perlu digunakan untuk hasilkan bunyi. Ia secara tidak langsung akan menggunakan banyak tenaga. Oleh itu, senyapkan (silence) telefon anda. Pergi ke tetapan, pilih sound and vibration, turunkan intensiti getaran.
Di sini, anda juga boleh mematikan system feedback. Dengannya, skrin anda tidak akan bergetar apabila anda menaip atau menyentuhnya. Ini juga akan menjimatkan tenaga bateri.
6. Tidurkan aplikasi di Android
Pembangun aplikasi telah berusaha untuk memastikan aplikasinya berjalan dengan sebaik mungkin. Tetapi ada banyak aplikasi yang terus berjalan di latar belakang walaupun anda tidak menggunakannya. Sudah tentu ia akan memakan data dan jangka hayat bateri dari masa ke masa.
Ada peranti Android yang mempunyai tetapan untuk tidurkan aplikasi. Ini akan menghalangnya daripada berfungsi di latar belakang. Ada dua pilihan tidur iaitu sleeping dan deep sleeping. Untuk sleeping, aplikasi akan berfungsi semula di latar belakang jika anda gunakannya. Untuk deep sleeping, aplikasi tidak akan berjalan di latar belakang, melainkan anda matikan fungsi deep sleeping ini.
Contohnya, jika anda jarang menggunakan aplikasi kalkulator, tetapkannya kepada deep sleeping, jadi ia tidak akan mengganggu hayat bateri anda dan ia juga tidak akan berfungsi di latar belakang telefon.
7. Matikan Background App Refresh di iOS
Aplikasi di iOS akan terus berjalan walaupun anda matikannya. Melalui ciri Background App Refresh, ia masih dapat memeriksa kemas kini aplikasi dan kandungan baru, ini merupakan satu proses yang boleh memendekkan hayat bateri.
Anda boleh matikan ciri ini di bahagian tetapan, pilih General dan pilih Background App Refresh. Selain itu, anda boleh juga pilih untuk hidupkan ciri ini hanya melalui WiFi sahaja untuk menjimatkan tenaga bateri.
8. Guna wallpaper dengan warna sedikit
Elak daripada menggunakan wallpaper bergerak, paparan ini memerlukan tenaga yang banyak untuk menghidupkannya. Lebih baik jika anda gunakan wallpaper dengan warna yang lebih sedikit, kerana paparan akan memakan lebih banyak tenaga jika perlu menghasilkan banyak warna yang berbeza.
9. Rendahkan kadar penyegaran
Mengurangkan kadar penyegaran juga merupakan salah satu cara untuk memanjangkan hayat bateri. Rendahkan kadar penyegaran untuk telefon yang mempunyai skrin lebih 60Hz. Anda boleh tetapkan ia melalui tetapan. Pilih Display, tekan Advanced, kemudian matikan Smooth Display.
Dengan mengikut tips di atas, mungkin hayat bateri pada telefon anda akan bertahan lama. Anda juga tidak perlu berulang kali mengecas telefon untuk memanjangkan hayat bateri. Anda juga dicadangkan untuk beli telefon dengan kapasiti bateri sebesar 6,000mAH, seperti model ASUS ROG Phone 5, Samsung Galaxy M32 atau Redmi 9T.
[Sumber gambar: Gear Patrol]