Redmi 9T, raja baru telefon pintar mampu milik di awal 2021

Xiaomi hari ini melancarkan beberapa produk mereka di pentas antarabangsa. Salah satu tarikan utama dalam majlis ini adalah telefon pintar kelas permulaan, Redmi 9T. Telefon ini memiliki prestasi yang sama dengan Poco M3 yang dilancarkan akhir tahun lepas, ditambah sedikit kelebihan.

Lebih menarik lagi, telefon ini telah disahkan akan dijual di Malaysia. Jualan pertama bermula pada 15 Januari 2021, tanpa sebarang promosi dan tempahan awal. Ia akan dijual di Stor Rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee, serta di semua pengedar sah Xiaomi dan di Mi Store.

Spesifikasi

Redmi 9T dikuasakan cip Snapdragon 662, RAM sehingga 6GB dan storan dalaman sehingga UFS2.2 128GB. Bateri di dalamnya sebesar 6,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W. Menariknya, Xiaomi memberikan kepala pengecas 22.5W di dalam kotak. Ya, masih ada pengecas di dalam kotak. Tidak seperti di Mi 11.

Skrin Redmi 9T seluas 6.53-inci, dari jenis LCD dan resolusi HD Penuh. Pengimbas capjarinya terletak di sisi, bergabung dengan butang kuasa. Telefon ini juga ada speaker stereo, jek audio 3.5mm, WiFi 5GHz, Bluetooth 5.0 serta pemancar infra merah.

Semua spesifikasi yang disebut tadi adalah sama seperti Poco M3. Perbezaannya adalah pada kamera belakang, di mana Redmi 9T ada 4 kamera dan Poco M3 hanya 3. Kamera yang sama adalah kamera utama 48MP, kamera makro 2MP dan kamera potret 2MP. Kamera hadapan juga sama, 8MP di dalam takuk kecil atas dahi.

Redmi 9T (kiri) dan Poco M3 (kanan)

Kamera tambahan yang ada di Redmi 9T adalah kamera ultra lebar 8MP. Ini adalah satu peningkatan ketara kerana kamera ultra lebar memberi ruang mengambil gambar lebih lebar, tanpa bergerak jauh ke belakang.

Seperkara lagi, Redmi 9T ditawarkan dengan lebih RAM lebih besar dari Poco M3. Untuk varian kecil, ia adalah sama iaitu RAM 4GB dan storan 64GB. Tetapi varian atas, ia memiliki RAM 6GB dan storan 128GB. Di Poco M3, RAM hanya 4GB untuk kedua-dua varian.

Harga dan Warna

Redmi 9T ditawarkan dalam empat warna iaitu kelabu, biru, oren dan hijau. Ia dijual di Malaysia bermula 15 Januari 2021 pada harga berikut:

  • Redmi 9T (RAM 4GB + Storan 64GB) – RM599
  • Redmi 9T (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM699

Bacaan Berkaitan