Redmi Note 9T dilancar sebagai telefon 5G paling murah dari Xiaomi

Xiaomi telah mengedakan satu acara pelancaran global yang memperlihatkan beberapa produk baru mereka dilancarkan untuk tahun 2021. Ia dimulakan dengan pelancaran peranti 5G paling murah Xiaomi untuk pasaran antarabangsa, Redmi Note 9T.

Telefon ini menggunakan kuasa pemproses MediaTek Dimensity 800U yang dibina dari proses 7nm, dilengkapi modem 5G terbina di dalamnya. Ini membolehkan ia bersambung ke rangkaian mudahalih untuk internet yang lebih pantas.

Paparan Redmi Note 9T seluas 6.53-inci HD Penuh, dari jenis LCD dan kadar penyegaran 60Hz sahaja. Ia dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5 di luar untuk lebih tahan jatuh.

Baterinya sebesar 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W. Tetapi Xiaomi memberikan kepala pengecas lebih berkuasa 22.5W di dalam kotak. Sama seperti di Poco M3.

Untuk kamera, hanya ada 3 lensa di belakang iaitu kamera utama 48MP, kamera makro 2MP dan kamera potret 2MP. Kamera hadapannya pula 13MP, terletak di dalam lubang kecil di sudut atas skrin.

Sistem bunyi pula dihasilkan dari speaker stereo di bahagian atas dan bawah telefon, serta melalui jek audio untuk sambungan fon telinga berwayar. Selain itu, ia juga masih ada pemancar infra merah, sesuatu yang hanya ada di telefon pintar Xiaomi.

Bagi sambungan 5G, ia boleh dilakukan dengan memasukkan kad sim 5G di salah satu dari dua slot kad sim yang ada. Slot kad ini turut menerima kad mikroSD berasingan, membenarkan tiga kad digunakan serentak.

Harga dan warna

Redmi Note 9T diperkenalkan dalam dua warna, ungu dan hitam. Ia akan mula dijual di pasaran Eropah pada 11 Januari 2021, dengan harga dan varian berikut:

  • Redmi Note 9T (RAM 4GB + Storan 64GB) – EUR229 (~RM1,131)
  • Redmi Note 9T (RAM 4GB + Storan 64GB) – EUR269 (~RM1,328)

Tetapi sebagai promosi pengenalan, Xiaomi akan menjualnya pada harga lebih murah iaitu:

  • Redmi Note 9T (RAM 4GB + Storan 64GB) – EUR199 (~RM982)
  • Redmi Note 9T (RAM 4GB + Storan 64GB) – EUR249 (~RM1,249)

Ini adalah telefon 5G paling murah dikeluarkan Xiaomi. Tetapi buat masa ini, Xiaomi Malaysia tidak menyatakan bilakah Redmi Note 9T akan tiba di Malaysia. Hanya Redmi 9T yang akan dijual di Malaysia dalam masa terdekat, bermula dari 15 Januari 2021.

Bacaan Berkaitan