Selepas AirAsia Food cuba menyaingi GrabFood dan FoodPanda, kini ShopeeFood pula hadir menyediakan perkhidmatan yang hampir sama. Melaluinya, pengguna boleh membeli barang keperluan, termasuklah makanan yang sedia untuk di makan. Ia boleh diakses menerusi ikon ShopeeFood di halaman utama aplikasi Shopee.
Perkhidmatan ini dilancarkan secara berperingkat bermula 24 September, untuk penduduk di Lembah Klang. ShopeeFood memberi pengguna akses kepada pelbagai kedai makanan termasuklah restoran-restoran popular seperti A&W, Burger King, Nando’s, Starbucks, Tealive serta gerai-gerai makanan tempatan.
Kepada pengguna-pengguna baru, ShopeeFood akan memberikan baucar penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM0, serta baucar diskaun bernilai sehingga RM8. Dari 24 hingga 28 September, ShopeeFood juga akan menawarkan makanan RM10 ke bawah dengan nilai yang lebih hebat sementara stok masih ada.
Menurut Terence Pang, Ketua Pegawai Operasi di Shopee, perkhidmatan baharu ini membolehkan peniaga makanan dan minuman berpindah ke platform dalam talian bagi menjangkau lebih ramai pelanggan.
Dalam masa yang sama, kedatangan ShopeeFood ini juga akan memberikan peluang kepada pelanggan untuk memilih makanan dengan menu yang lebih luas. Berikut merupakan cara untuk memesan makanan di ShopeeFood:
- Pergi ke ikon ShopeeFood pada halaman utama
- Tuntut baucar penghantaran percuma dan baucar makanan. Boleh juga tuntutnya di sini.
- Pilih item yang anda mahukan dari menu yang ditawarkan oleh restoran
- Lakukan pembayaran dan sertakan baucar yang dituntut tadi
Pesanan penghantaran makanan di ShopeeFood boleh dilakukan dari jam 8 pagi sehingga 10 malam.
Jualan Shopee 10.10
Selain itu, bersempena dengan Shopee 10.10 yang sedang berlangsung hingga 10 Oktober, Shopee menawarkan baucar penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM10 untuk pembelian, dan ada 50% diskaun disediakan untuk jenama terkenal.
Bukan itu sahaja, para pengguna ShopeePay berhak menerima sehingga 10,101 syiling Shopee setiap kali mereka menambah nilai dompet mudah alih dari 2 hingga 9 Oktober. Nilai ini akan ditambah sebanyak 3 kali ganda semasa ShopeePay Day pada 1 Oktober. Lebih menarik lagi, para pengguna juga boleh menggunakan Syiling Shopee untuk menikmati lebih penjimatan bagi pesanan ShopeeFood mereka.
Untuk ketahui lebih lanjut mengenai tawaran Shopee 10.10, anda boleh klik di sini. Manakala untuk sebarang promosi mengenai ShopeeFood, anda boleh kunjungi laman Instagram mereka di shopeefood_my.