Quran Majeed adalah salah satu aplikasi mudah alih Al-Quran paling popular di dunia. Di Apple AppStore sahaja, ia diberi markah 4.8/5 bintang oleh hampir 150 ribu pengguna, menunjukkan ia sangat digemari ramai.
Tetapi di China, Apple baru-baru ini telah mengeluarkan Quran Majeed daripada stor aplikasi mereka kerana diarahkan oleh pihak berkuasa China.
Pembangun aplikasi ini, Pakistan Data Management Services (PDMS) menyatakan, Apple memaklumkan mereka bahawa Quran Majeed terpaksa dikeluarkan kerana kandungannya memerlukan pengesahan dokumen tambahan oleh kerajaan China. PDMS kini sedang berusaha untuk menghubungi Cyberspace Administration of China dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyelesaikan isu ini.
Tambah PDMS, mereka memiliki hampir 1 juta pengguna Quran Majeed di China.
Walaupun Parti Komunis China selaku parti memerintah mengiktiraf Islam sebagai salah satu agama di China, banyak tindakan mereka dilihat sering menindas penganut Islam. China telah dituduh melakukan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia, terutama sekali terhadap etnik Muslim Uyghur di Wilayah Xinjiang.
Apple tidak memberikan sebarang komen khusus mengenai perkara ini tetapi memaklumkan bahawa Polisi Hak Asasi Manusia yang mereka guna menyatakan:
Kami diminta untuk mematuhi undang-undang tempatan, dan kadang-kadang ada masalah rumit yang mungkin tidak kami setujui dengan kerajaan dan pemegang taruh lain untuk menuju ke hadapan. Menerusi dialog, dan kepercayaan pada kekuatan pertemuan, kami berusaha mencari jalan keluar yang paling sesuai untuk pengguna kami – privasi mereka, kemampuan mereka untuk mengekspresikan diri, dan akses mereka ke maklumat yang boleh dipercayai dan teknologi yang bermanfaat.
Apple telah beberapa kali patuh pada arahan kerajaan China sebelum ini. Antaranya larangan membenarkan aplikasi berkaitan Dataran Tiannamen, Dalai Lama, Falun Gong serta kemerdekaan Tibet dan Taiwan. Bagi mengekalkan pasaran mereka yang sangat besar di China, Apple seolah-oleh menjadi biro penapisan kandungan kerajaan China.
Perkara yang hampir serupa turut dikenakan kepada syarikat yang lain. Audible, aplikasi buku audio dan podcast oleh Amazon, telah mengeluarkan aplikasi mereka daripada AppStore China kerana masalah birokrasi. LinkedIn milik Microsoft juga menyatakan, mereka telah menutup perkhidmatan LinkedIn di China kerana peraturan kerajaan China yang semakin mencabar.