Seorang guru tadika menjadi mangsa scam selepas dia melakukan 14 transaksi pembayaran berjumlah RM69,030 hanya untuk membeli kucing Scottish fold berharga RM900 secara dalam talian.
Pada mulanya, mangsa menghubungi sebuah nombor yang tertera pada iklan Facebook untuk membeli kucing yang dikatakan dari Indonesia. Kemudian, mangsa bersetuju membeli kucing itu dengan harga RM900. Mangsa dikatakan perlu menjelaskan separuh daripada harga sebagai deposit dan bakinya perlu dijelaskan selepas penghantaran kucing tersebut.
Mangsa yang berusia 25 tahun itu kemudian membayar deposit RM450 ke dalam sebuah Hong Leong Bank atas nama Tansiaupenga Siagian. Dia kemudian dimaklumkan bahawa kucing itu telah dihantar kepadanya. Dalam proses penghantaran dari Indonesia, mangsa diminta untuk membayar wang bagi pelbagai prosedur. Sehingga ahad lalu, dia telah membuat 14 transaksi berjumlah RM69,030 kepada suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani, berkata, mangsa tidak dapat kucing yang dibeli, malah bimbang identitinya disalah guna kerana menyerahkan salinan kad pengenalan serta alamat kepada suspek. Mangsa akhirnya membuat laporan polis kerana rasa tertipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Setiap individu perlu berjaga-jaga dan jangan mudah terpedaya dengan iklan jualan di media sosial. Sebaiknya, belilah haiwan peliharaan dari penjual yang dipercayai, lebih-lebih lagi haiwan dari baka luar negara. Ada banyak kedai haiwan di Malaysia yang menjual kucing import. Lebih selamat jika pembeli dapat lihat sendiri keadaan haiwan secara fizikal sebelum membeli. Maka, belilah dari sumber yang dipercayai.
[Sumber gambar: Petinsurance]